Pelawak dan bekas penyampai radio, Shuib berkongsi suasana syahdu ketika mahu memberitahu hal sebenar kepada ketiga-tiga anaknya berkenaan pemergiaan ibu mereka ke Rahmatullah, Siti Sarah Raissuddin akibat Covid-19, pagi Isnin.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di dalam Instagram milik Allahyarham, Shuib mendedahkan anak-anaknya iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin serba sedikit sudah maklum mengenai keadaan ibu mereka menerusi media sosial.
Malah, ada di antara mereka yang bersama mengapa cakap ibu arwah sedangkan setahu mereka, arwah masih dalam keadaan koma.
“Sebenarnya, anak-anak dah nampak di Youtube pasal ibu mereka, Siti Sarah. Siap tanya penjaga kenapa cakap ibu arwah, ibu kan koma je. Lepastu diorang tanya lagi kenapa ada video “Anak-anak tidak tahu ibunya telah tiada”.
“Ya Allah beratnya hati kami, akhirnya dengan lafaz bismillah, selawat, daddy terangkan hal sebenar dengan tenang. Anak-anak menangis, mengharapkan ibu balik, rindukan ibu,” tulis Shuib.
Dia pada masa sama turut mendoakan agar anak-anak mereka membesar sebagai anak soleh.
“Uwais, Talita, Matin & Ayash, jadilah anak yang soleh & solehah, rajin solat, pandai mengaji Al-Quran, selalu bersedekah dan dengar cakap daddy & family.
“Kita hanya berpisah di dunia, bertemu kembali di Syurga,” tulisnya lagi.
Sementata itu, Shuib di dalam video berkenaan antara lain turut menerangkan bahawa Allah SWT lebih sayangkan ibu mereka.
“Anak-anak daddy yang buat yang paling baik. Dah mendoakan ibu, sembahyah hari-hari. Cuma, Allah lebih sayangkan ibu. Jadi daddy nak, anak-anak daddy dengar cakap semua.
“Allah sayang sangat dengan ibu sebab semua Allah punya. Daddy sudah ‘minta’ dengan Allah supaya pulangkan ibu. Tapi Allah lebih sayangkan ibu sebab ibu baik. Tapi tak apa daddy ada,” katanya sambil memeluk ketiga mereka.
Perkongsian penuh sebak itu dihujani dengan pelbagai komen netizen yang sama-sama tumpang simpati lalu menitipkan doa buat arwah dan keluarga.