“Dengan Hormat, Saya Berpendapat RM10,000 Adalah Rendah,” – A. Aida

Share

Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk A. Aida berpandangan denda ganti rugi berjumlah RM10,000 yang dikenakan kepada pelakon, Amelia Henderson dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama bersama syarikat produksinya adalah sangat sedikit.

Bagaimanapun, A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang tetap menghormati keputusan yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.

“Peguam saya belum dapat lagi alasan bertulis penghakiman. Tapi secara ringkas saya dimaklumkan peguam bahawa pertama, mahkamah bersetuju berlakunya pelanggaran kontrak seperti yang saya tuntut.

“Walaupun begitu jumlah RM10,000 yang diberikan dengan hormat saya berpendapat adalah rendah,” katanya dalam satu kenyataan yang diberikan kepada pihak media.

Pada masa sama, A Aida turut memaklumkan dirinya akan berbincang dengan pihak peguam bagi tindakan susulan.

“Kedua, untuk fitnah, saya tidak dapat komen kerana ia adalah discretionary atas pemahaman posting tersebut dan mahkamah tinggi mendapati ia bukan fitnah.

“Saya menghormati keputusan mahkamah tinggi dan akan berbincang lanjut dengan peguam samada perlu atau tidak untuk merayu lanjut ke mahkamah rayuan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, A Aida turut mengingatkan para pelakon untuk sentiasa menghormati kontrak yang telah dipersetujui bersama.

“Apa yang jelas, apa yang pernah saya perjuangkan, berlakunya langgar kontrak telah turut diperakui oleh mahkamah tinggi dan mahkamah turut menasihati kepentingan menghormati kontrak.

“Saya rasa kita perlu lihat secara menyeluruh keputusan mahkamah tinggi tersebut dan nasihat yg telah diberikan oleh Yang Arif tentang pentingnya menghormati kontrak,” katanya lagi.

Terdahulu, memetik laporan Kosmo, Amelia berjaya dalam rayuannya bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Amelia hanya perlu membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah 5 peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini (keputusan dibuat).

Sebelum ini, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd pada 18 April lalu.

Penghakiman di Mahkamah Sesyen itu mengatakan mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Selain itu, Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu “Aira” yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.

Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5% kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Datuk A Aida

Published by
Aizam Manaf