Penyanyi Siti Sarah secara profesional bertemu wakil masyarakat Orang Asli khusus bagi membuat memohon maaf secara terbuka berkaitan isu melibatkan dirinya dengan suku kaum tersebut baru-baru ini yang mencetuskan tular.
Pertemuan tersebut berlangsung pada malam Selasa.
Menerusi satu perkongsian video di IG TV miliknya, Sarah dilihat ditemani pengurus bagi bertemu secara empat mata dalam menyampaikan hasrat yang antara lain turut meluahkan isi hati.
“Dengan penuh rasa bersalah dan menyesal, saya minta maaf kepada semua masyarakat Orang Asli.
“Walaupun saya tahu, kehadiran saya di sini tidak mencukupi… saya tahu di Malaysia, kita ada kira-kira 18 suku kaum (Orang Asli).
“InsyaAllah selepas malam ini, saya akan buat surat permohonan maaf secara bertulis melalui wakil persatuan atau jabatan Orang Asli,” katanya.
Pertemuan yang cukup tertib sebagaimana yang dikongsikan Sarah mendapat reaksi positif ramai.
Rata-ratanya memuji pendirian selebriti tersebut yang dilihat cuba tampil bagi menjernihkan keadaan.
Dalam pada itu, Sarah pada ruangan kapsyen pada entri tersebut sekali lagi memohon maaf atas khilaf yang telah berlaku.
Atas rasa kesal, penyanyi lagu Manis ini turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai pengajaran.
“Saya, Siti Sarah dengan rendah hati, menyusun 10 jari memohon maaf kepada masyarakat Malaysia terutama kepada 18 suku kaum Orang Asli atas kekhilafan diri saya yang menguris hati masyarakat Orang Asli.
“Sesunguhnya tidak lintas dan terniat untuk saya melukakan hati Orang Asli. Sebagai manusia biasa tidak lari daripada melakukan kesilapan, Sarah juga sama.
“Sarah kesal dan menyesal atas apa yang berlaku.
“Dan apa yg terjadi ini akan menjadi satu pengajaran bukan sahaja untuk sarah tapi juga kepada masyarakat diluar sana.
“Sekai lagi, saya memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat komuniti Orang Asli atas apa yg terjadi. Maafkan Sarah,” tulisnya.