Hiburan

“Dengan Tegas Dia Pertahankan Saya,” – Ezad Lazim Sukses Dengan Exists Sebab Jay Jay

Share

Pemergian penyanyi lagenda, Allaharyam Jay Jay pada malam Ahad merupakan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air dan diratapi banyak pihak.

Selain rakan seperjuangan, antara selebriti yang turut manzahirkan rasa hiba dengan pemergian Jay Jay termasuklah penyanyi dan pelakon, Ezad Lazim.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Ezad memaklumkan Allahyarham Jay Jay mempunyai jasa yang sangat besar di dalam perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.

Katanya lagi, penyanyi lagu Rindu Bayangan itu telah mempertahankan namanya selaku vokalis baharu kumpulan Exists meskipun ada pihak yang mahu menggantikannya dengan penyanyi lain.

“Abang Jay Jay adalah orang yang bertanggungjawab menjaga vocal saya semasa rakaman album pertama saya bersama Exists.

“Antara kenangan yang paling saya kenang sampai bila-bila adalah beliaulah insan yang mempertahankan saya untuk kekal di Exists

“Kerana pada masa itu, ada suara-suara pihak atasan daripada label kami bernaung yang merasakan saya tidak sesuai menjadi penyanyi untuk Exists,” tulisnya.

Pada masa sama, penyanyi lagu Jesnita itu turut mendedahkan Jay Jay juga dengan tegas meyakinkan pihak syarikat rakaman untuk kekalkan Ezad bersama Exists.

“Mereka mahukan Exists cari penyanyi lain yang lebih sesuai padahal masa itu, saya sudah merakamkan hampir separuh lagu untuk album itu.

“Saya masih ingat, Abang Jay jay tegas bercakap di telofon dengan nada yang agak keras mengatakan kenapa perlu cari penyanyi lain?

“Kenapa korang kata suara budak ni tak sesuai? Dengan ketegasan dia, akhirnya mereka akur juga untuk mengekalkan saya sebagai vokalis untuk kumpulan Exists,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, jika bukan kerana Jay Jay, berkemungkinan besar perjalanan kerjayanya tidak seperti apa yang dicapai pada hari ini.

“Kerana dia, saya terus bertahan bersama Exists sampai ke album terakhir saya bersama band itu dan masih bertahan sebagai anak seni hingga ke hari ini.

“Bayangkan pada masa itu, memang pihak syarikat rakaman tukar vokalis lain untuk Exists? Mungkin kerjaya saya sekarang ini adalah seorang model,” selorohnya.

Dalam pada itu, Ezad turut menitipkan doa semoga Allahyarham Jay Jay ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.

“Hari ni, kita kehilangan insan hebat dalam industri seni ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat yang Esa dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Salam takziah dari kami,” akhirinya.

Tedahulu, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus telah menghembuskan nafas terakhir ketika tidur pada jam 9.27 malam tadi akibat komplikasi kegagalan organ dalaman.

Allahyarham Jay Jay telah selamat dikebumukan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya, pada jam 11.15 pagi tadi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf