Selepas memaklumkan dirinya bakal menunaikan umrah pada 26 Disember depan, pelakon cantik, Uqasha Senrose mengakui perasaannya bercampur baur meski teruja.
Bagaimanapun, dia mengharapkan yang terbaik dan semoga semuanya dipermudahkan.
Rombongan umrah bintang ini turut disertai ahli keluarganya yang lain, termasuk Nelydia dan Raysha Rizrose.
Berkongsi mengenai pemergiannya ke tanah suci tidak lama lagi, Uqasha yang kali pertama menunaikan umrah memberitahu, dia sudah pun mengikuti kursus umrah sebagai persediaan.
“Saya akan tunaikan umrah pada 26 Disember ini, turut disertai ahli keluarga lainnya. Kali pertama dan saya sudah pun melakukan beberapa persediaan, seperti mengikuti kurus umrah.
“Memang perasaan itu gementar, bercampur-campur. Apa pun saya mengharapkan yang terbaik, moga dipermudahkan segala urusan,” kata Uqasha kepada MH.
Berkongsi mengenai apakah yang menjentik dirinya untuk ke sana, pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini mengakui ibunya, Rosmizai Mohd Noor banyak memberikan keyakinan dan keberanian untuknya menjejakkan kaki ke tanah suci.
“Kalau kita nak kata tak bersedia, sampai bila-bila pun kita akan cakap belum bersedia. Mamalah yang jadi pendorong paling kuat saya.
“Mama selalu cakap, pergi sana sini boleh, ke tempat yang sejuk boleh. Mengapa tidak seketika jejak kaki ke tanah suci?,” kongsi Uqasha.
Ditanya mengenai apakah doa yang akan dipintanya saat menunaikan umrah, Uqahsa memberitahu dia hanya mahu berdoa supaya menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.
“Berdoa soal jodoh, kesihatan, ketenangan, kegembiraan dan untuk menjadi insan yang lebib baik, insyaAllah,” ujarnya.
Terdahulu, kakak kepada pelakon Nelydia Senrose ini ditemui ketika sesi penggambaran siri sitkom terbaru, Spana Jaya X di Sri Pentas, Bandar Utama yang bakal bersiaran Februari depan.
Turut sama menjayakan sitkom sebanyak 13 episod ini ialah Ben Amir, Douglas Lim, Sangeeta dan ramai lagi.
Menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat terlibat di dalam diri yang pernah mencetuskan fenomena di negara ini suatu ketika dulu, Uqasha bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa gementar apabila siri berkenaan disiarkan kelak.
“Siapa yang tidak gembira apabila dipilih untuk menjadi sebahagian daripada famili siri yang pernah trending suatu ketika dulu. Cuma pada masa sama, saya bimbang kerana takut akan dibandingkan dengan siri sebelumnya.
“Apapun, krew terlibat termasuk pelakon dan pengarah banyak memberikan tunjuk ajar apatah lagi Ahmad Idham dan Opie sendiri merupakan antara yang menjadi tulang belakang siri sebelumnya.
“Saya ada juga tonton beberapa sedutan Spanar Jaya yang asal sebagai rujukan,” terangnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Uqasha baru saja selesai menjalani penggambaran untuk drama Hantu Don di samping Kamal Adli untuk siaran TV3.
Foto: Instagram Uqasha Senrose
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI