Dewi Remaja 2022 Dikritik ‘Beauty Without Brains’; “Jangan Hina Tahap IQ Kami.”

Share

Baru-baru ini tular mengenai sedutan satu klip video memaparkan soalan spontan yang diajukan wartawan Sinar Daily kepada peserta Dewi Remaja 2022 mengenai perkembangan politik semasa negara.

Menerusi video berdurasi lebih satu minit itu, ia memperlihatkan empat peserta iaitu Keeranjit Kaur A/P Daljit Singh, 25, Siti Nur Aishah Bee Mohd Nor, 22, Noor Alyssa Ahmad Azmi, 20, dan Zafira Natasya Yong, 21, yang diuji soalan berkaitan politik di Malaysia.

Akibat memberi jawapan seakan tidak pasti apabila diajukan soalan untuk menamakan tiga parti pembangkang dan komponen parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan ketika ini, rata-rata netizen meninggalkan komen ‘jahat’ seperti ‘beauty with no brains’ terhadap keempat-empat mereka.

Tampil menjawab komen-komen negatif yang dilemparkan terhadap mereka, Keeranjit Kaur atau lebih senang disapa Keeran berkata dia berharap netizen di luar sana tidak menghina tahap intelektual peserta Dewi Remaja.

“Sebenarnya soalan itu diajukan secara spontan dan saya akui sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa cakna dengan perkembangan dan situasi politik yang berlaku dalam negara kita.

“Saya harap netizen tidak menghina tahap IQ kami sebaliknya tengoklah video penuh kami sebelum bertindak meninggalkan sebarang komen negatif.

“Kami memang baca semua komen-komen yang diberikan tapi kami tidak terguris hati, sebaliknya go easy on us. Daripada isu yang jadi ini, secara tidak langsung saya percaya ramai rakyat Malaysia kini lebih cakna untuk lebih mengambil tahu mengenai perkembangan politik semasa negara,” katanya kepada MH.

Menurut Keeran yang baharu sahaja menamatkan pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan & Inovasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dia ingin mengucapkan terima kasih kepada sebahagian netizen yang mengambil perkara itu sebagai satu langkah yang bijak dengan menerangkan jawapan secara terperinci kepada orang ramai.

“Saya tengok ada dalam kalangan netizen yang turut menerangkan jawapan secara terperinci untuk pengetahuan bersama. Itu yang bagusnya, secara tidak langsung sama-sama kita semua akan lebih cakna mengenai isu politik negara.

“Saya melihat isu ini daripada sudut positif dan sememangnya sebagai rakyat Malaysia, kita kena perlu sentiasa mengambil tahu apa yang berlaku dalam negara kita,” ujarnya lagi.

Dewi Remaja 2022 yang kini memasuki episod ketujuh pada Sabtu ini akan memaparkan cabaran teater yang perlu disahut 11 lagi dewi yang masih tinggal dalam perjuangan untuk merebut gelaran Dewi Remaja 2022.

11 peserta yang masih bertahan ialah Alyssa, Keeran, Bee Aishah, Auni, Janani, Zafira, Rasyiqah, Dina, Kimberly, Hyeley dan Tracie.

Manakala lima peserta yang tersungkur setakat ini ialah Fifi, Malle, Melissa, Iman dan Reezlyn.

Dihoskan Fikry Ibrahim, Dewi Remaja 2022 bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104).

Pelakon dan bekas finalis Dewi Remaja 1994/95, Rozita Che Wan merupakan juri tetap bagi program tersebut.

Pertandingan ini telah banyak melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang seni tempatan seperti Scha Alyahya, Neelofa, Anzalna, Izara Aishah, Mimi Lana, Aleeza Kassim, Raysha Rizrose dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar