Dewi Remaja 2022 Tracie Sinidol Mahu Bina Identiti Sendiri; “Henti Cakap Saya Kembar Mira Filzah.”

Share

Berjaya merangkul gelaran Dewi Remaja 2022, Tracie Sinidol berharap selepas ini dia akan dapat membina jenama sendiri untuk menempatkan diri dalam industri hiburan tempatan.

Menurutnya lagi, kalau boleh selepas ini dia meminta tiada lagi mana-mana pihak akan mengaitkan dirinya dengan pelakon Mira Filzah yang dikatakan mempunyai wajah seiras dengannya.

Tracie, 21, berkata dia tidak mahu lagi terus dibayangi dengan gelaran ‘kembar’ Mira sebaliknya ingin berdiri sendiri dengan bakat yang ada dalam dirinya.

“Terima kasih atas kemenangan ini, saya dah cipta gelaran baharu. Henti cakap saya kembar Mira Filzah. Sekarang saya berdiri dengan gelaran sendiri, Tracie Juara Dewi Remaja 2022.

“Bukan tak suka dikaitkan, saya tak nafikan ada kelebihan apabila orang gelar saya kembar Mira, contohnya diberi tawaran kerja.

Tetapi saya tak nak nama tenggelam dan orang ingat saya kerana Mira… saya perlu ada identiti sendiri,” katanya kepada MH.

Bercerita lebih lanjut tentang hala tujunya selepas ini, gadis berasal dari Tambunan, Sabah ini berkata dia mempunyai misi dan visi ingin menempatkan diri bergelar seorang pelakon serta hos rancangan.

Selain itu juga, Tracie berkata dia sudah mempersiapkan mental dan fizikal untuk berhadapan dengan asam garam dunia hiburan yang penuh dengan kontroversi.

“Saya ada banyak minat, minat berlakon, mengacara dan juga menyanyi. Jadi sekarang saya sedang berusaha untuk memperbaiki dialek Sabah dengan belajar bahasa baku menerusi tontonan filem, drama serta lagu selain pembawaan diri di hadapan orang ramai.

“Selain itu, saya juga sudah mempersiapkan diri selepas ini seandainya dilanda kontroversi pada masa akan datang.

“Ibu saya turut berpesan untuk saya sentiasa bersedia berhadapan dengan kecaman dan pujian daripada orang lain, dua perkara ini akan saya ingat dalam fikiran saya.

“Untuk saya, kecaman itu ada waktunya perlu untuk saya perbaiki diri untuk menjadi lebih baik.

“Manakala pujian itu pula sebagai pembakar semangat untuk saya sebagai pendatang baharu untuk terus menghasilkan sesuatu yang lebih baik,” katanya lagi.

Pada malam finale yang berlangsung pada Sabtu lalu, Tracie berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Naib juara pula diraih Bee, diikuti tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi Kimberly dan Alyssa.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar