Baru-baru ini, nama vokalis kumpulan Exists, Mamat menjadi perhatian ramai selepas tular sepotong video yang memaparkan dirinya melayan permintaan peminat untuk menyanyikan lagu ‘Untukmu Ibu’.
Video tersebut mengundang reaksi pelbagai daripada netizen yang risau dengan keadaan terkini Mamat yang dikatakan kelihatan seperti orang sakit.
Ketika ditemui media, Mamat atau nama sebenar Mohd Ali Kamarudin akui kesal tindakan individu terbabit yang memuat naik video tanpa kebenarannya.
Menurut Mamat, disebabkan hal tersebut, dia kini harus lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling meskipun di kampung halamannya sendiri.
“Pada ketika itu, saya tak berapa sihat tapi tidaklah terlampau teruk. Video tersebut diambil pada waktu pagi. Saya pun baru bangun tidur.
“Saya datang ke situ pun kerana ia merupakan salah satu tempat di kampung halaman saya. Orang kampung pun memang kenal saya.
“Saya sendiri tak sangka yang video tersebut akan dimuat naik dan mendapat perhatian sebegitu. Mungkin pada masa akan datang, walaupun di kampung sendiri, saya kena lebih berjaga-jaga,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Salju Di Danau Rindu itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media konsert Exists X Orchestra yang berlangsung di Tamu Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.
Katanya lagi, orang luar sepatutnya harus tahu tentang kesesuaian sesebuah kandungan sebelum memutuskan untuk memuat naiknya di media sosial.
“Pada saya, sebelum kita memuat naik video atau kandungan tentang orang lain, kita kena tahu situasi sebenar terlebih dahulu.
“Namun, bila kita bercakap tentang media sosial, ia merupakan perkara yang kita tak boleh nak kawal. Orang ramai pun dah boleh merakam dan bukan wartawan sahaja.
“Kemudian, mereka muat naik video tersebut tanpa tahu situasi dan buat andaian sendiri. Perkara itu akan menjadi masalah kepada saya,” ujarnya lagi.
Jelas Mamat lagi, hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan persepsi negatif orang ramai seterusnya menjejaskan nama baiknya.
“Pada saya, orang ramai kini harus berfikiran lebih terbuka. Saya tak minta pun mereka lindungi saya tapi kandungan yang mereka nak muat naik itu boleh mengaib dan menyusahkan saya.
“Pada masa akan datang, bila saya nak buat persembahan, orang akan buat penilaian dan andaian sesuka hati. Jadi, macam-macam hal yang perlu kita jawab.
“Kalau mereka lebih berfikiran terbuka, saya tidak perlu nak menjawab pelbagai persoalan. Muka saya tak keluar surat khabar pun saya tak kisah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mamat turut memaklumkan dirinya tidak kisah sekiranya tidak mendapat perhatian daripada pihak media asalkan dia boleh melakukan rutin hariannya seperti biasa
“Biarlah saya buat aktiviti harian saya seperti biasa. Ia akan lebih memudahkan urusan saya.
“Orang luar tak pernah tahu fasal kehidupan saya tiba-tiba nak buat kandungan yang bukan-bukan fasal saya. Anda siapa nak menilai seseorang.
“Buatlah haluan masing-masing tak perlulah nak merakam atau buat video,” akhirnya.
Terdahulu, Mamat bersama kumpulan Exists bakal mengadakan konsert Exists x Orchestra yang bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 22 Disember ini.
Konsert ini merupakan kali pertama Exists bakal mengadakan konsert sambil diiringi barisan orkestra secara penuh.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.