Hiburan

“Di Usia 58 Tahun, Kami Juga Boleh Viral,” – Nama Rosyam Nor & Faizal Hussein ‘Meletup’! Duo Sepupu Masih Berbisa

Share

Berjaya mencetuskan fenomena menerusi drama Keluarga Itu dan Bidaah, pelakon Datuk Rosyam Nor dan Faizal Hussein membuktikan usia bukanlah penghalang untuk mereka terus mencipta impak di dalam dunia lakonan.

Menurut Rosyam, dia bersyukur kerana masih memiliki aura untuk menarik minat penonton sama ada yang baharu atau lama, termasuk Faizal.

“Segalanya adalah rezeki daripada Allah SWT. Dahulu, kebanyakkan drama hanya ingin mengambil pelakon-pelakon muda sahaja.

“Namun, saya dan Faizal yang juga sepupu membuktikan pada usia 58 tahun, kami juga boleh viral.

“Ramai yang suka tonton drama kami. Tak semestinya yang muda sahaja kena viral. Namun, viral kami disebabkan bakat. Pada awalnya, orang membenci dan maki saya.

“Bila baca semula komen, mereka sebenarnya kagum dengan lakonan saya,” katanya kepada MH.

Rosyam berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran trailer filem Keluang Man di GSC Aurum, TRX, Kuala Lumpur pada Rabu.

Kerja Keras & Kualiti Naskhah Bagus

Pada masa sama, Rosyam menyifatkan kejayaan ini terhasil daripada usaha keras mereka sepanjang hampir 40 tahun bergiat di industri seni.

“Sebelum ini, ramai juga yang buat drama tentang ajaran sesat dan haruan makan anak tapi tak menjadi seperti mana Faizal dan saya berlakon.

“Namun, ia bukanlah disebabkan kami sahaja tapi juga dibantu dengan kekuatan naskhah dan pelakon-pelakon lain juga. Ia adalah satu gabungan yang baik,” kongsinya lagi.

Katanya lagi, antara rahsia kejayaan sesebuah karya adalah apabila ia dekat dan berkait rapat dengan penonton.

“Kebanyakan platform penstriman suka membuat cerita ala-ala Hollywood tapi akhirnya cerita-cerita ‘kampung’ ini yang meletup.

“Siapa boleh bayangkan tiba-tiba Faizal boleh meletup sampai ke Indonesia. Mana ada pelakon-pelakon muda yang meletup sampai ke sana seperti Faizal.

“Ini membuktikan bakat dan peluang itu penting. Alhamdulillah lakonan kami jadi fenomena. Setiap pelakon mengimpikan sebegitu,” akhirinya.

Dalam pada itu, Rosyam menjadi antara barisan pelakon yang membintangi filem adiwirq terbaharu, Keluang Man.

Selain Rosyam, filem arahan Anwari Ashraf juga turut membariskan barisan pelakon seperti Nas-T, Datuk Remy Ishak, Shweta Sekhon dan Anwaar Beg Moghal.

Keluang Man bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf