“Dia Ada Hubungi Suami Saya Untuk Jelaskan…,” – Jangan Berlakon Beria-Ia? Fasha Sandha Ulas Komen Fizz Fairuz

Share

Umum mengetahui, pelakon, Fasha Sandha baru sahaja menjalani rawatan di hospital selepas cedera di bahagian mata dan tulang pipi sewaktu menjalani penggambaran drama, Anak Tuan.

Insiden berkenaan mendapat perhatian ramai pihak termasuklah daripada sahabatnya yang juga merupakan pelakon, Datuk Fizz Fairuz.

Selepas insiden tersebut berlaku, Datuk Fizz Fairuz ada memuat naik satu kenyataan di media sosial untuk mengingatkan para rakan pelakon supaya tidak terlalu beria-ia ketika berkarya.

Fasha ketika ditemui di Majlis Menyambut Ramadan Alfaro & Media berkata, dia memandang setiap komen yang diberikan semua pihak daripada sudut positif.

“Fizz Fairuz merupakan salah seorang sahabat rapat saya. Namun, saya tak tahu apa maksud sebenar Fizz Fairuz ketika membuat hantaran tersebut.

“Pada saya, mungkin dia hanya memberikan pandangan peribadi agar insiden kecelakaan ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Jadi, mungkin dia mengingatkan kami supaya tidak perlu terlalu beria-ia ketika berlakon,” katanya kepada MH.

Jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata ini lagi, Fizz telah menghubungi suaminya yang juga merupakan pelakon, Aidil Aziz untuk menjelaskan maksud hantarannya itu.

“Saya tak kisah pun dengan kenyataan tersebut kerana saya memandang perkara ini daripada sudut yang positif. Saya pun tidak mempersoalkan atau menganggap tindakan Fizz Fairuz itu sebagai memalukan saya atau Azhan Rani.

“Saya tahu niat Fizz Fairuz itu baik. Dia pun ada menghubungi suami saya untuk menjelaskan apa sebenarnya yang dia maksudkan melalui hantaran tersebut.

“Pada saya, tak salah pun apa yang dikatakan oleh Fizz Fairuz. Setiap orang berhak untuk memberikan pandangan masing-masing,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Saya pun bukan muda lagi. Umur pun dah 39 tahun. Perkara-perkara remeh seperti ini, saya ketepikan sahaja. Saya nak enjoy sahaja dengan hidup saya.

“Kemalangan seperti ini boleh berlaku pada sesiapa. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Walaupun kita jaga sebaik-baiknya, kalau nak berlaku, ia tetap akan berlaku,” akhirinya.

Terdahulu, kecederaan yang menimpa Fasha itu berlaku ketika menjayakan babak bergelut dengan Azhan yang secara tidak sengaja menolaknya sehingga terhantuk di bucu katil kayu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH