Pelakon asal Singapura, Hannah Delisha, 25, yang baru sahaja sah bergelar isteri kepada Muhammad Imam Shah, 32, menzahirkan rasa syukur kerana majlis ijab kabulnya berjalan lancar.
Menurut Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne-Birch ini, majlis dilangsung secara kecil-kecilan dan tertutup dengan hanya dihadiri beberapa ahli keluarga dari kedua pihak sahaja.
“Alhamdulillah Hannah rasa sangat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana segalanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Pernikahan pasangan tersebut didaftarkan di Registry of Marriage Singapore atau Biro Lesen Perkahwinan Singapura.
Mengulas mengapa majlis pernikahan dilihat dilakukan secara tiba-tiba, Hannah Delisha berkata beliau sebenarnya merupakan seorang yang sangat menjaga privasi terutama tentang hal yang bersifat peribadi.
“Saya minta maaf sebab saya memang kurang selesa berkongsi hal peribadi. Memang tak pernah saya nak kongsi dalam media sosial yang Hannah bercinta selama ini.
“Sebab bagi saya, biarlah kita sah dahulu barulah kita nak kongsikan. Kita dahulukan yang wajib. Itu yang lebih utama,” katanya.
Berkongsi sedikit latar belakang suami, Hannah mengakui telah lama mengenali Imam Shah, iaitu sejak mereka berlakon bersama lima tahun dahulu.
“Saya kenal Imam masa kita sama-sama terlibat dalam sebuah drama episod yang bertajuk Faculty di Singapura lima tahun lepas.
“Imam seorang yang sangat penyabar, penyayang, dan kelakar. Dialah yang sebenarnya banyak mendorong saya untuk lebih cenderung ke arah keagamaan.
“Alhamdulillah, saya yang sekarang sedikit sebanyak adalah hasil bimbingan Imam juga.
“Saya pohon semua untuk mendoakan kebahagiaan rumah tangga kami dan teruslah menyokong kerjaya saya.
“Majlis bersanding kita akan umumkan nanti. InsyaAllah kami buat secara bersederhana sahaja untuk keluarga dan teman rapat.
“Tentang tarikh, saya tak boleh nak beritahu lagi sebab biarlah kes Covid yang sedang menular ini tamat dahulu.
“Bila keadaan kembali normal, kami akan kongsi tarikh majlis bersanding,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Hannah kini turut fokus beliau akan lebih banyak ke arah bidang nyanyian dan V-Log di YouTube tahun ini.
“Saya sebenarnya tengah sibuk promosi single terbaru yang berjudul Terlalu Mudah.
“Untuk bidang lakonan, Hannah takkan tinggal, cuma akan lebih memilih naskah yang sesuai dengan penampilan Hannah sekarang, malah akan sibuk dengan bisnes baru.
“Saya nak cuba rezeki dalam bidang perniagaan pula. InsyaAllah tak lama lagi Hannah akan keluarkan rangkaian pakaian RTW dan Exclusive berjenama Délicia.
“Sekarang masih dalam peringkat pemilihan material dan rekaan. Kalau tiada aral melintang, dalam beberapa bulan lagi akan siap sepenuhnya, insya-Allah,” katanya.
Foto: Instagram Hannah Delisha