“Jangan gelabah!,” Itu komen Fakhrul yang merupakan salah seorang anggota kumpulan nasyid UNIC apabila diminta mengulas mengenai kes rumah tangga seorang agamawan yang telah menceraikan bekas isterinya yang sarat hamil tujuh bulan baru-baru ini.
Jelas Fakhrul, dia tidak mahu komen lebih lanjut kerana tidak tahu perkara sebenar yang terjadi dalam hubungan rumah tangga seseorang, sekaligus boleh membawa kepada keburukan pada diri sendiri iaitu fitnah.
“Bila ada sesuatu yang kita nampak, semua kita nak komen, masing-masing nak bagi pendapat. Tapi hakikatnya kita tak tahu pun cerita sebenar mengenai kisah seseorang itu,” kata Fakhrul kepada MH.
Dalam pada itu, Fakhrul yang juga juara Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah menasihati netizen agar tidak cepat melatah dalam sesuatu perkara.
“Janganlah netizen terlalu cepat melatah, bertenang dan bila kita komen lagi menambah keruhkan keadaan..
“Kita tahu pihak terbabit ada masalah emosi, tapi bila komen-komen netizen yang sedemikian, lagi menambahkan masalah dan tekanan bagi mereka,” jelas Fakhrul atau nama sebenarnya Mohd Fakhrul Radhi.
Tambah Fakrul, pihak terbabit hanyalah manusia biasa yang mempunyai kesalahan seperti orang lain.
“Tak kisahlah dia seorang agamawan, artis atau public figure sekalipun, dia tetap manusia biasa. Bezanya, sebab dia orang dikenali dan dia pun ada tittle, cuba kalau dia jadi orang biasa, mungkin orang tak tahu cerita dia yang sebenar.
Dalam pada itu, Fakhrul menasihati netizen agar tidak terus mengeruhkan keadaan dengan komen-komen yang tidak bernas.
“Nak nasihat tu boleh, cuma jangan sampai keruhkan keadaan, keluar ayat-ayat yang tak sepatutnya. Seeloknya nasihat dengan cara DM (direct message) atau secara personal. Ini pun untuk jaga maruah kita bila nasihat dan jaga maruah pihak yang terbabit,” nasihat Fakhrul.
Dalam perkembangan lain, kumpulan UNIC akan mengeluarkan single terbarunya berjudul Padu Bosku! berkolaborasi dengan Harry (Khalifah) tidak lama lagi.