Vokalis kumpulan Bunkface, Sam, tampil mempertahankan diri susulan dakwaan yang dikeluarkan bekas isteri, Aida Azira Hussin terhadap isu pengabaian tanggungjawabnya sebagai bapa kepada anak mereka, Maleeq.
Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Baharom, 35, menerusi hantaran video di laman Instagram berkata, dia bersuara kerana mahu membersihkan namanya dan keluarga.
Dia juga tidak mahu membuka aib siapa-siapa namun demi mengelakkan fitnah berlanjutan.
“Saya tak pernah langsung abaikan tanggungjawab dan tak pernah tak bayar nafkah anak (walau) sebulan pun.
“Saya siap bayar terlebih malah siap pernah jaga Maleeq selama dua minggu dalam setiap bulan dan maknya turut menjaga dua minggu, setiap bulan,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Sam turut memperincikan sebab dia mengemukakan permohonan pindaan nafkah anak.
“Dia minta RM1,300 untuk sebulan dan saya mohon pindaaan nafkah ini pada dua tahun lalu. Penjagaan Maleeq adalah sama rata, saya dua minggu dan dia pun dua minggu dalam masa sebulan.
“Dia minta saya jumlah itu untuk jaga Maleeq selama dua minggu. Tak termasuk kos saya jaga anak selama dua minggu lagi. Masuk akal tak saya mohon pindaan ini ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana punca pendapatan saya sangat terhad dan lebih dua tahun perniagaan saya terjejas.
“Walau tanggungjawab saya bertambah dan PKP berlanjutan, saya masih melaksanakan tanggungjawab sebagai ayah dengan menjaga Maleeq selama dua minggu tanpa gagal dan nafkah tetap dibayar setiap bulan.
“Kos saya menjaga Maleeq selama dua minggu lebih kurang RM250, kenapa dia jaga sampai RM1,300?,” katanya lagi.
Antara lain Sam turut menjelaskan, dia tidak berjumpa Maleeq dalam tempoh yang agak lama disebabkan Aida memilih untuk membawanya ke Melaka.
“Kali terakhir saya jumpa Maleeq, 19 Disember tahun lalu. Apa yang lima hingga enam bulan (seperti didakwa Aida). Baru tiga bulan (belum berjumpa), itupun sebab ada halangan.
“Aida letak Maleeq dekat Masjid Tanah, Melaka sejak Julai tahun lalu tanpa kebenaran dan pengetahuan saya. Sebulan lebih saya tanya di mana Maleeq, dia jawab talk to my lawyer.
“Saya risau, jadi saya hantar surat kepada peguamnya tetapi tiada respon. Selepas beberapa kali ditanya, barulah dia beritahu Maleeq di Melaka.
“Masalahnya Aida kerja di Kuala Lumpur, jadi siapa yang jaga Maleeq di sana. Rupa-rupanya nenek Maleeq yang jaga dan dia tak jaga pun, tapi nafkah tetap minta dengan jumlah tinggi,” katanya.
Ikuti perjelasan panjang lebar Sam di sini;
Terdahulu, Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka baru-baru ini.
Imbas kembali, Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida pada 25 April 2015, namun bercerai pada penghujung Januari 2019.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini