Bagi anda yang membesar di era awal 2000an pasti kenal dengan kumpulan wanita Girls Aloud yang popular setelah memenangi pertandingan realiti Popstars : The Rivals. Setelah dibubarkan pada tahun 2009, kumpulan ini membuat kemunculan semula pada tahun 2012 sebagai tanda 10 tahun mereka di dalam dunia muzik sebelum muktamad berpecah pada tahun 2013.
Salah seorang ahli kumpulan ini, Sarah Harding, 39, telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad dan perkara itu disahkan sendiri oleh ibunya. Meninggal dunia akibat penyakit kanser payudara, sebelum itu mendiang Sarah terlebih dahulu pernah mengumumkan yang dia menghidap penyakit tersebut pada Ogos tahun lalu.
Dalam satu hantaran di laman Instagram Sarah yang ditulis oleh ibunya, Marie, “Dengan berat hati saya ingin berkongsi berita yang anak saya, Sarah, sudah meninggal dunia. Mungkin ramai dari anda sudah tahu perjuangan Sarah menghadapi penyakit kanser dan bagaimana kuatnya dia melawan penyakit itu sejak hari pertama diagnosis.
“Dia pergi dengan aman pagi ini. Saya berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan sejak setahun yang lalu. Keprihatinan semua sangat bermakna kepada Sarah dan perkara itu memberi dia kekuatan kerana dia tahu dia disayangi.
“Saya tahu dia tidak mahu diingati hanya kerana berlawan dengan penyakit ini. Dia adalah bintang yang bersinar dan saya harap dia akan dikenang kerana itu.”
Ketika bersama dengan kumpulan Girls Aloud, Sarah mengecap populariti dan kejayaan yang sangat besar. Kumpulan tersebut telah diangkat sebagai UKs
Biggest Selling Group untuk abad ke-21 dengan 4.3 juta single dan 4 juta keping album terjual di negara tersebut. Selain Sarah, kumpulan vokal wanita ini dianggotai oleh lima wanita anggun termasuklah Cheryl Cole, Nicola Roberts, Kimberley Walsh dan Nadine Coyle.Antara lagu popular yang menjadikan kumpulan ini terkenal seperti I’ll Stand By You dan The Promise.
Sumber: Instagram Sarah Harding