Pelawak dan pengacara, Vicha mendedahkan dia punyai sebab yang tersendiri mengapa jarang berkongsi perihal mengenai suaminya, Johnson di media sosial.
Menurut Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 34, dia sebenarnya hanya menghormati permintaan suami yang kurang selesa bila berhadapan dengan kamera.
“Ceritanya begini, suami saya bukanlah jenis yang suka didedahkan kepada umum. Kalau pasangan lain, mungkin mereka banyak bergambar dengan suami.
“Namun, gambar kami dalam telefon pun tak terlalu banyak. Kena scroll banyak kali baru jumpa. Dia bukan tipikal orang yang suka bergambar atau mengambil video,” katanya kepada MH.
Tambah pelawak asal Bandung, Indonesia ini lagi, meskipun sudah kerap kali dia mengajak suaminya untuk mengadakan konten-konten lucu di media sosial, namun pendiriannya dikatakan masih lagi belum berubah.
“Sebenarnya, sudah banyak kali saya cuba mengajak suami mengadakan konten-konten di media sosial tetapi jawapannya tetap sama.
“Dia juga kurang selesa kehidupan kami dikongsikan kepada umum. Walaupun sudah saya terangkan yang kita hanya buat konten suka-suka atau melawak tetapi dia masih lagi belum mahu.
“Suami saya ini seorang yang sangat kelakar. Ada sahaja perkara dijadikan bahan lawak tetapi bila di hadapan kamera, dia automatik akan rasa segan.
“Namun, saya masih belum putus asa untuk pujuk dia merakam konten dengan saya. Tiada niat pun nak sembunyikan suami cuma kami juga sibuk dengan hal masing-masing,” ujarnya lagi.
Sudah melayari bahtera perkahwinan hampir lapan tahun, Vincha mendedahkan dia kagum dengan sifat tanggungjawab suaminya lebih-lebih lagi bila melibatkan soal anak-anak.
“Kami bukan baru berkahwin. Usia perkahwinan sudah pun memasuki tujuh tahun. Cabaran-cabaran di lima tahun yang pertama telah kami lalui.
“Alhamdulillah, kami sekeluarga gembira terutamanya buat anak-anak saya yang sebelum ini tidak pernah mendapatkan kasih sayang seorang bapa. Sekarang, mereka sudah tempat untuk dapatkan bimbingan.
“Saya kagum dengan cara suami menjalankan tanggungjawab. Walaupun anak-anak itu bukan anak kandung dia, tapi dia benar-benar menjaga seperti anak sediri.
“Dia tahu cerita hidup saya sebelum ini. Dia juga tahu macam mana kisah bapa kepada anak-anak saya ini. Namun, dia tetap sabar dalam menjalankan tanggungjawab,” akhirinya.
Sekadar informasi, Vicha telah mendirikan rumah tangga bersama Johnson yang berasal daripada Nigeria sejak tiga tahun yang lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki, Michael.
Selain Michael, Vicha juga mempunyai tiga anak perempuan yang tinggal di Indonesia hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Aurael Angelina Khezya, Listya Arum Tresnasih dan Michelle Averina Chalista.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Vicha