Pelakon legenda, Noorkumalasari menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kakaknya yang juga merupakan penyanyi terkenal, Anita Sarawak kini mengalami masalah kesihatan.
Menurut Noorkumalasari, Anita yang kini bermastautin di Las Vegas, Amerika Syarikat dikhabarkan berada dalam keadaan baik.
“Saya ada juga mendengar khabar angin begitu, tapi dia sebenarnya dalam keadaan baik dan tak sakit seperti didakwa,” katanya kepada MH
Pelakon yang terkenal menerusi filem, Adik Manja ini berkata sedemikian ketika ditemui di forum ‘Antara Cantik dan Bakat : Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?’ yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin.
Noorkumalasari turut menambah, dia juga sudah lama tidak berhubung dengan Anita.
Menurutnya, Anita lebih banyak berhubung dengan kakak sulung mereka bagi memaklumkan keadaan terkininya.
“Mungkin sebab dia tahu saya banyak berhubung dengan rakan-rakan media, jadi dia lebih selesa untuk berhubung dengan kakak sulung saya. Yang pasti, dia dalam keadaan baik bersama suami di Las Vegas,” katanya.
Sebelum ini, khabar angin mendakwa Anita bukan saja sakit, malah sudah bercerai dengan suaminya, Mahathir Abdullah selain turut didakwa sudah meninggal dunia.
Media pula sebelum ini melaporkan Anita sudah meninggalkan kerjaya nyanyian dan kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: WHAM