“Dia Sempat Cakap Nak Peluk Anak Bongsu Yang Baru Pulang Dari Kerja,” – Isteri Ahmad Tarmimi Siregar Meninggal Dunia Jam 2.00 Pagi Tadi

Share

Menerusi laporan Harian Metro, isteri kepada pelakon dan pengarah, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datin Zulhaila Siregar Sulaiman meninggal dunia akibat masalah pernafasan kira-kira jam 2 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Bukit Bangsar, Kuala Lumpur pada usia 64 tahun.

“Selalunya setiap kali bangun solat tahajud dalam jam 2 pagi saya akan periksa dia dulu, tapi tadi tidak. Dalam jam 4 pagi baru saya periksa dan mendapati dia sudah tidak bergerak dan kaki pun sejuk.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya sebelum tidur iaitu jam 11 malam. Saya sempat hantar video kepada ahli keluarga bagi memaklumkan keadaannya yang tidak berapa okay. Pernafasannya dan oksigen kurang bagus. Dia nampak penat sangat.

“Saya nak bawa dia ke hospital, tapi disebabkan penyakit dialami membabitkan paru-paru ditambah pula musim Covid-19, jadi saya fikir ia tidak sesuai.

“Tidak menjangka pula dia sudah mahu pergi,” katanya seperti yang dipetik.

Jelasnya juga, keadaan kesihatan isteri mula merosot sejak tiga tahun lalu akibat penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) kira-kira tujuh tahun lalu.

“Sakit dialami sudah tujuh tahun, tapi mulai merosot sejak tiga tahun lalu yang mana dia sudah tidak boleh keluar rumah. Kalau keluar pun, kena bawa oksigen bersama. Itu pun sesekali saja.

“Sejak dua minggu lalu dia sudah tidak berapa ingat, malah minggu ini pernafasannya tidak menentu. Jadi, saya bercakap pada diri, saya reda jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia.

“Macam semalam pun saya pujuk dia makan dan minum, tapi tak nak. Dia sempat cakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja,” katanya lagi.

Difahamkan, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zuhur, hari ini.

Sumber : Harian Metro

Published by
Noraini Abd Wahab