“Dia Sudah Tiada Dan Kau Masih Lagi… Apa Yang Dimarahkan Sangat?,” – Elly Mazlein Terkesan, Sifatkan Arwah Sandra Anak Yang Baik

Share

Penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein menyatakan rasa sedih dan terkesan terhadap komen yang dilontarkan sesetengah pengguna media sosial dalam melayangkan status berkenaan kematian penyanyi, Allahyarham Sandra Dianne, Jumaat lalu.

Jelasnya, perasaan terkilan itu timbul apabila mengenangkan komen yang diberikan itu disifatkan melampau sehingga mengguris hati ramai pihak.

“Apa yang berlaku membuatkan saya rasa sedih dan terkesan. Meski dia sudah pergi, masih ada individu yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang sungguh dahsyat.

“Saya tertanya… Di mana hati mereka? Mereka sejenis apa? Jadi saya rasa kesal di situ. Seolah-olah tanpa memikirkan hati dan perasaan keluarga arwah.

“Dia sudah tiada dan kau masih lagi… Apa yang dimarahkan sangat? Apa yang arwah sudah lakukan? Sedangkan bagi saya Sandra ialah anak yang baik,” katanya.

Meski tidak mengenali Allahyarham secara rapat, namun memori bersama sebagai bintang yang sama-sama memeriahkan dunia seni memberi ruang buat penyanyi Bakawali itu menilai sikap baik yang ada pada arwah.

“Saya pernah temu bual Allahyarham ketika mengacarakan MeleTOP dan sebelum ini kami pernah bertemu dalam persembahan dan sesi fotografi.

“Arwah jenis yang tidak banyak cakap tetapi dia cukup menghormati orang lain.

“Meski saya tidak mengenalinya secara dekat tapi rasa terkesan kerana saya juga mempunyai anak dan saya cuba bayangkan apakah perasaan ibunya.

Rasa simpati bila mana beliau ada menyatakan rasa rindu pada arwah,” jelasnya lagi.

Elly atau lebih mesra dengan sapaan Kak Lina diundang pada konsert Tribute #SandraDalamKenangan malam tadi bagi membaca komen serta status yang dilayangkan netizen.

Turut dilihat sebak ketika membacakan komen netizen, Ibu kepada seorang cahaya mata ini bagaimanapun turut memuji sikap wargamaya lain yang disifatkan cukup baik dalam memberikan pandangan.

“Ada yang komen mengatakan mereka tidak mengenali Sandra, tetapi dapat merasakan arwah seorang yang baik dan tidak perlu kita untuk menghakimi,” akhiri Elly.

Published by
Rafiq Mazlan