“Dia Suka, Happy Dengan Lagu Ini,” – Fattah Amin Lancar Lagu Baru, Kongsi Reaksi Positif Fazura

Share

Kembali dengan single baharu berjudul Hamba, pelakon dan penyanyi Fattah Amin mengakui isterinya, Fazura turut sama memberikan pandangan terhadap lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan Mel Ramlan itu.

Menurut Fattah, ada beberapa bahagian yang turut mendapat reaksi isterinya itu demi menghasilkan versi final yang terbaik.

“Dia suka, happy dengan lagu ini. Malah Fazura turut juga ada bagi idea mengenai lirik video single ini, begitu juga dengan lagu. Dia ada berikan pendapat.

“Input yang diberikan itu juga membantu dalam proses penghasilannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai single tersebut menerusi sidang media yang dijalankan secara virtual baru-baru ini, Hamba dilihat sebagai refleksi diri individu ketika berhadapan dengan situasi pandemik ketika ini.

Tidak dinafikan, wabak COVID-19 yang menular ketika ini bukan sahaja mampu melumpuhkan ekonomi tetapi turut menjejaskan emosi hingga ada yang mengambil jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup.

Justeru, kata Fattah, sebagai hamba-Nya, adalah menjadi tugas kita untuk terus berdoa dan bersujud kepada Allah supaya segala kesukaran yang dihadapi akan segera berakhir.

“Lagu ini sebenarnya termasuk dalam tiga projek khas yang saya jalankan bersama komposer Hafiz Hamidun. Projek pertama adalah lagu Kiriman Agung dan diikuti pula dengan Sinar Selawat.

“Seperti yang diketahui, dua lagu itu ada kaitan dengan kelahiran cahaya mata saya, Nur Fatima Aisya. Bagaimanapun untuk lagu HAMBA ini, ia tiada kaitan dengan anak saya.

“Sebaliknya ia berkisar kepada penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus asa.

“Sebagai hamba kita hanya mampu untuk berdoa dan Allah yang akan makbulkan permintaan kita itu. Insya-Allah akan ada jalan keluar untuk semua ini,” katanya lagi.

Berkongsi proses rakaman lagu itu, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin ini memaklumkan lagu ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan iaitu setahun.

“Lagu ini mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Ini berlaku kerana proses rakamannya banyak kali tertangguh disebabkan situasi pandemik yang dihadapi.

“Selain itu, penghasilan lagu ini juga dibuat dengan cukup teliti. Kalau saya dapati ada bahagian yang tak berapa berkenan di hati, saya akan minta dibuat penambahbaikan.

“Bila saya betul-betul berpuas hati dengan hasilnya, barulah saya bersedia untuk melancarkan lagu itu. Lambat pun tak mengapa asalkan hasilnya dapat memuaskan hati semua pihak,” ujar Fattah

.

Tidak seperti lagu yang pernah dihasilkannya sebelum ini, untuk Hamba, Fattah turut berkolaborasi dengan penyanyi rap, Kmy Kmo.

Mengulas perkara itu, bapa kepada seorang cahaya mata ini mendedahkan, ia dibuat untuk memberikan kelainan terhadap buah tangan terbaharunya itu.

“Setiap kali menghasilkan lagu baharu, saya sentiasa memikirkan apakah kelainan yang boleh dilakukan. Memandangkan saya tidak pernah berkolaborasi dengan penyanyi rap sebelum ini, saya pun menyuarakan hasrat itu kepada label iaitu Universal Music Malaysia.

“Selepas mengadakan perbincangan, akhirnya mereka memilih Kmy Kmo untuk berduet dengan saya dalam lagu itu. Dalam lagu ini, dia menulis sendiri lirik dan juga mencipta melodi bahagian yang dinyanyikannya.”

“Bagi saya Kmy sangat berbakat dan selepas mendengar hasil kerjanya, saya terus suka kerana melodinya sedap didengar dan liriknya selari dengan jalan cerita lagu ini. Perkara itu menjadikan kombinasi kami menjadi lebih menarik,” puji Fattah.

“Selepas tiga kali berturut-turut menghasilkan lagu berkonsepkan ketuhanan, timbul tanda tanya, apakah Fattah kini sudah beralih arah untuk bergelar penyanyi nasyid. Menafikan perkara itu, Fattah menyatakan apa yang dilakukannya itu hanyalah untuk mencabar kebolehan diri serta mahu menjadi penyanyi serba boleh.

“Sebelum ini saya memang dikenali sebagai penyanyi balada dan saya juga pernah bereksperimen dengan muzik saya menerusi lagu Bebas. Bila saya menyanyikan lagu bergenre ketuhanan, bukanlah bermakna saya nak jadi penyanyi nasyid.

Sebaliknya saya hanya mahu mempelbagaikan genre muzik saya supaya orang tak bosan dan nampak statik,” ungkapnya.

Muzik video lirik lagu berkenaan sehingga kini sudah pun ditonton lebih 22,000 tontonan selepas dimuat naik di YouTube.

 

Media Hiburan sedang menganjurkan pertandingan menarik bersempena dengan MCO 3.0 ini, siapa tahu rezeki akan jadi milik anda.

Pertandingan nyanyian ‘Karok Lockdown’ khas buat anda yang mahu ketengahkan bakat menyanyi, kalau bertuah ganjaran wang tunai menanti!

Apa yang anda perlu buat? Klik saja link DI SINI untuk mendaftar sekarang. Mana tau korang pemenang yang kami cari, all the best!

Published by
MH