Tahniah diucapkan buat pelakon Aidit Noh apabila memaklumkan isterinya yang dikenali sebagai Hana kini hamil lima bulan.
Mereka baru saja menyambut ulang tahun pertama perkahwinan pada 29 Mei lalu.
Aidit atau nama sebenarnya, Ahmad Aidit Noh,28, memetik Boom Malaysia berkata, dia mengetahui perkara itu sebaik pulang dari set penggambaran drama bersiri popular Dendam Seorang Isteri.
“Sebenarnya isteri dah buat ujian kehamilan dua hari lebih awal sebelum dia beritahu saya. Bila tahu berita ni, siapa saja yang tak terkejut.
“Keesokannya baru saya bawa isteri ke klinik untuk melakukan ujian ultrasound dan doktor mengesahkan pada masa itu usia kandungan Hana sudah pun sebulan lebih.
“Cuma kami tidak mahu hebohkannya terlalu awal walaupun ada yang bertanya sebelum ini. Sekarang ini apabila kandungan dah benar-benar kuat, baru kami sedia bercerita,” katanya.
Berkongsi lanjut, Aidit menjelaskan Hana mengalami alahan teruk dan sering muntah selain mengidam buah delima.
“Kalau bercakap soal mengidam, tiada yang pelik sangat. Cuma masa tengah mengandung ni, dia suka makan buah delima.
“Tetapi yang menjadikannya sedikit sukar, dia hanya suka makan buah delima yang diimport dari Mesir. Tak nak yang biasa-biasa,” katanya lagi.
Hana dijangka bersalin pada November depan dan Aidit cuba menyusun jadual seninya agar dapat bersama isteri pada minggu-minggu terakhir sebelum menyambut kelahiran anak sulung mereka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.