Tahniah diucapkan buat penyanyi kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 23, yang telah pun selamat melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihan, Nur Natasha Ahmad Nawawi atau Tasha, 22, hari ini.
Majlis dilangsungkan di Masjid Ukay Perdana, Ampang, kira-kira jam 10.20 pagi tadi.
Pada majlis itu, Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,000 bersama gelang dan cincin emas tanpa wang hantaran.
Memetik Harian Metro, dengan sekali lafaz, Ayie sah bergelar suami selepas dinikahkan oleh bapa Tasha, Ahmad Nawawi Mad Nasir dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga pasangan pengantin.
Sambil menzahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahannya berjalan lancar dan dipermudahkan Ayie bagaimanapun akui awalnya dia rasa agak gemuruh.
“Alhamdulillah, saya lega kerana akad nikah selesai dengan sekali lafaz saja. Insya-Allah, saya juga sudah bersedia memikul tanggungjawab baharu sebagai ketua keluarga.
“Saya terpikat dengan Tasha dan mahu memperisterikannya kerana dia sukakan budak-budak, pandai memasak dan menguruskan hal- hal rumah.
“Jadi, saya yakin semua itu akan mempermudahkan kehidupan kami nanti,” katanya.
Majlis resepsi pasangan pengantin akan berlangsung secara sederhana pada sebelah malam hari ini.
Terdahulu, Ayie dan pasangan mengikat tali pertunangan mereka pada Januari lalu di Lanai Anggun, Eco Sky, Taman Wahyu.
Sumber: Harian Metro