Categories: Berita

“Dia Tak Yakin, Susah Jika Asyik Pandang Ke Bawah,” – Rizalman & Linda Jasmine Perjelas Punca Harris Baba Tersingkir

Share

Menyifatkan persembahan Harris Baba dan Unique sebagai tiada ‘showmanship’, jelas Linda Jasmine, sukar baginya untuk memberikan markah kerana sistem penjurian memerlukan kelebihan dalam sisi tarian dan nyanyian.

Perkara ini turut diakui Datuk Rizalman Ibrahim yang juga selaku juri tetap. Tambahnya pula, Harris dilihat bagai tidak menunjukkan kesungguhan dan tiada keyakinan dalam persembahan yang dilakukan.

Dia tidak yakin. Susah jika asyik memandang ke bawah dan tidak merasai sokongan yang diberikan peminat.

“Kemudian banyak kumpulan yang hebat, jadi terlalu berbeza persembahan yang ditonjolkan,” jelasnya kepada media.

Sementara itu, Linda turut mengulas pemberian markah cukup sukar dilakukan kerana penari memberikan persembahan yang baik, namun sebagai penyanyi utama, Harris gagal melaksanakan tugas.

Penari sudah cukup bagus namun nyanyiannnya tidak begitu memberansangkan, jadi sukar untuk kami berikan markah.

“Tapi bagi saya, sebab utama penyingkiran Harris kerana dia tiada showmanship.

“Jika dia mahu terus berjaya, dia harus ambil ilmu daripada Dansa Dan Sing dan gunakan untuk masa hadapan,” tambah Linda.

Minggu kedua menyaksikan Harris Baba menjadi peserta pertama tersingkir daripada Dansa Dan Sing dengan jumlah markah 49.67 peratus.

Manakala Shiha Zikir menduduki tangga pertama dengan 94.93 peratus diikuti Chubb-E dengan 94.03 peratus.

Atilia dan Nik Qistina menduduki tiga tangga terbawah dengan masing-masing membawa markah 58.87 peratus dan 58.77 peratus.

Dansa Dan Sing dihoskan oleh Sherry Al Hadad dan Hady Mirza sementara juri tetapnya terdiri daripada Linda Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim.

Program berkenaan bersiaran secara langsung setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria dan Ria HD.

Published by
Noraini Abd Wahab