Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali menafikan pihaknya telah menipu dan tidak telus ketika menjadi penganjur untuk sebuah konsert artis tempatan sehingga artis berkenaan dikatakan menanggung kerugian besar.
Menurut Aizuddin, pertemuan secara empat mata telah diadakan bersama pihak artis tersebut bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.
“Sebelum ini, kita ada mengadakan satu penganjuran konsert berskala besar. Namun, pihak artis dikatakan tidak mendapat penjelasan mengenai apa yang berlaku.
“Jadi, saya panggil pihak tersebut dan berjumpa. Pertemuan tersebut dihadiri oleh pihak saya dan pengurusan artis berkenaan.
“Artis tersebut juga membawa peguam untuk mendapatkan gambaran jelas,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, Aizuddin menjelaskan artis tersebut sebenarnya dipercayai telah dianiaya oleh orang terdekat, membabitkan ‘team’ pengurusannya sendiri.
“Namun, selepas kami memberikan gambaran sebenar, barulah artis itu tahu yang dia telah dianiaya oleh satu pihak lagi.
“Malah, pihak tersebut juga merupakan orang yang rapat dengan artis tersebut. Ketika dipihak saya, individu itu menceritakan satu hal yang lain.
“Manakala di pihak artis pula, dia memburukkan lagi keadaan. Bila kami berikan penjelasan, barulah ada penyesalan daripada pihak artis.
“Mereka akui telah berlaku salah faham. Namun, saya tidak menganggap ini sebagai satu isu. Lagipun, ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan artis,” ulasnya lagi.
Aizuddin berkata sedemikian ketika ditemui di Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Perihatin di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Katanya lagi, masalah seperti ini juga yang membuatkan dirinya berasa agak susah untuk bekerjasama dengan artis tempatan.
“Masalah ini berlaku kerana kita menggunakan platform pihak ketiga iaitu pengurusan artis.
“Mungkin sebab ini juga ramai yang mempersoalkan mengapa saya sering bekerjasama dengan artis luar.
“Saya bukan tak mahu bekerjasama dengan artis tempatan cuma ada segelintir artis yang mempunyai pengurusan yang tidak betul.
“Itu yang menyebabkan berlaku salah faham. Bila kami tunjukkan dokumentasi, barulah isu ini jelas,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Aizuddin memaklumkan ia telah pun selesai dan hubungannya bersama artis berkaan masih baik.
“Pada saya, untuk menjadi artis yang berjaya, mereka kena ada pihak pengurusan yang kuat. Saya kesiankan artis itu dan saya tak salahkan dia.
“Bila saya bercerita elok-elok, dia pun faham. Dia ada bakat dan vokalnya bagus tapi bila diberikan sepenuh kepercayaan, pihak pengurusan ambil kesempatan pula.
“Masalah ini sudah selesai dan hubungan saya dengan artis tersebut sangat baik,” akhirinya.
Bercakap mengenai kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa, Aizuddin akui kagum dengan semangat penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mahu menyantuni golongan tidak bernasib baik di bulan Ramadan ini.
Malah dia juga menyokong usaha Siti yang mahu membalas jasa pihak media yang menjadi tulang belakang sepanjang bergelar anak seni.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI