Instafamous yang juga anak pelakon dan pengarah, Sheila Rusli, Uzair Haqimy mendakwa dirinya telah menjadi mangsa penipuan rakan kongsi sehingga menyebabkan bisnesnya terpaksa ditutup buat sementara waktu.
Menurut Uzair, sekarang bukanlah masanya untuk meratapi perkara tersebut, sebaliknya dia hanya mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk menstruktur semua perjalanan syarikatnya itu.
“Rakan kongsi saya telah menipu saya dan dia telah menghuru-harakan syarikat. Tak perlulah saya berkongsi mengenai perkara tersebut.
“Cukuplah ia sekadar penjelasan buat anda semua mengapa syarikat saya Luxamana masih lagi ditutup sehingga sekarang.
“Tidak perlu lagilah kita bercerita mengenai masalah ini kerana sekarang merupakan waktu untuk mencari solusinya. Perusahaan saya belum lagi berakhir.
“Kami sedang menstruktur semula perancangan bagi tahun 2021.
“Kami telah kehilangan pelanggan dan juga kepercayaan mereka kerana masalah ini. Saya cuma berharap agar saya dapat mengembalikan semula reputasi syarikat saya.
“Semoga hari ini lebih baik daripada semalam,” kongsinya.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh anak muda berusia 24 tahun itu menerusi akaun Instagram miliknya.
Malah, Sheila juga ada memberikan reaksinya berhubung kenyataan anaknya itu.
“I’m behind you all the way son,” tulisnya.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis turut memberikan kata-kata semangat selain mendoakan semoga segala urusan Uzair dipermudahkan.