“Dia Tetap Akan Nangis Dan Mahu Saya Ambil Dukung,” – Akui Tanya Nasihat Pakar, Kaka Azraff Cerita Situasi Anak Yang ‘Clingy’

Share

Penyanyi Kaka Azraff ada berkongsi pengalaman mengenai rutin menjaga anak pertamanya, Aslan Adam yang bersikap sukar untuk berenggang dan berjauhan selain mahu bersamanya hampir setiap masa.

Malah sebelum ini menerusi satu hantarannya di Instagram, penyanyi yang kini muncul menerusi sinlge Gila itu turut memohon bantuan peminat untuk berkongsi tips bagi menyelesaikan masalah berdepan anak yang ‘clingy’.

Berkongsi mengenai perkara tersebut, Kaka ketika ditemui MH menjelaskan, ia sesuatu yang mencabar meski pada sama sama, ia turut membantu dirinya untuk menjadi ibu terbaik.

“Ini pengalaman pertama saya menjadi ibu dan ia sememangnya mencabar. Bagaimanapun saya percaya situasi ini akan berlalu dan anak rindui momen tersebut.

“Aslan tidak boleh berenggang, meski jika ada yang pegang dia bersebelahan dengan saya sekali pun, dia tetap akan nangis dan mahu saya ambil dukung. Malah kalau bersama dengan bapanya, dia tetap akan begitu.

“Kadang-kadang kalau nak buat kerja rumah tu, agak sukar sedikit. Saya nak ambil pembantu rumah pun tidak boleh kerana keadaannya yang begitu. Dia tidak boleh dengan orang.

“Awal dulu, kami memang ada pembantu, akan tetapi ia menjadi agak sukar. Jadi kami ambil keputusan untuk besarkan Aslan sendiri.

“Akan tetapi tidak mengapa, lebih baik untuk saya melihat dia membesar di hadapan mata dan ia secara tak langsung membantu saya untuk belajar menjadi ibu yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.

Kaka pada masa sama turut mendapatkan penjelasan pakar mengenai masalah yang dihadapi.

“Melihat kepada situasi tersebut, saya sampai bertanya kepada pakar kanak-kanak juga. Alhamdulillah semuanya baik dan doktor memberitahu, keadaan tersebut normal dan mempunyai fasa sendiri.

“Umurnya pun baru 10 bulan, jadi dia hanya kenal ibu dan bapanya sahaja. Doktor juga ada menyebut Aslan berkemungkinan tidak yakin dengan orang lain kecuali ibu bapanya.

“Sekarang saya kena rancang dalam kerja. Menjadi seorang ibu sedikit sebanyak mengajar saya untuk menjadi orang yang lebih peka dan tersusun,” akuinya optimis.

Terdahulu, Kaka ditemui pada majlis Pelancaran Single Gila, di Hotel Citizen M, Kuala Lumpur pada Isnin.

Single yang turut menampilkan Noki K-Clique dan Loka B itu sudah pun mempunyai muzik video rasmi yang kini sudah pun mencapai jumlah tontonan hampir 60,000 kali selepas dimuat naik di YouTube dua hari lalu.

 

Published by
Rafiq Mazlan