Hiburan

“Dia Tetap Mengamuk Tapi Tak Macam Dulu,” – Ganti Ubat Hospital Azil Dengan Ubat Herba, Zarina Zainuddin Terus Ikhtiar

Share

Pelakon senior, Zarina Zainuddin berkongsi perkembangan salah seorang anak istimewanya, Azil selepas hampir lima hari memberikan ubat herba.

Menurut Zarina, setakat ini Azil dapat tidur malam dengan baik dan kurang agresif terhadap diri sendiri.

“Malam ini merupakan malam kelima aku tidak memberikan Azil ubat yang biasa dia makan di hospital. Aku cuba ubat herba pada Azil. Empat malam dia okay tapi malam ni dia tak nak tidur.

“Aku pun terpaksa berjaga malam nak tunggu reaksi dia pada ubat herba tu. Apa yang aku dapat lihat dia tetap mengamuk tapi dah tak teruk macam dulu.

“Kalau sebelum ni, muka, hidung dan mulut dia berdarah-darah dia pukul sendiri tapi lima hari ni tidak lagi,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh pelakon drama Rajuk Karina itu menerusi hantaran di Instagram.

Maklumnya lagi, dia kini mahu mencuba alternatif lain kerana sudah tidak tahan lagi melihat keadaan anaknya itu yang kerap menyakiti diri sendiri hampir setiap hari.

“Cuma malam ni tak tahu dia tidur pukul berapa. Aku akan cuba bawak dia berjalan. Walau agak susah tapi aku kena jugak sebab aku dah tak sanggup tengok muka dia berdarah darah lagi.

“Aku mak pada dua orang anak autism dan aku tak boleh putus asa. Perjalanan hidup mereka aku kena rancang selebihnya aku serah pada Allah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zarina turut memberitahu sekiranya Azil menunjukkan perubahan baik, dia mahu mencuba ubat herba ini kepada seorang lagi anak austimnya iaitu, Azal.

“Apa yang aku nampak, selagi Azil tak tidur, selagi itu Azal takkan masuk rumah. Dia akan duduk di guard house sampai keadaan betul betul sepi.

“Jika ubat herba yang aku bagi pada Azal dan Azil ini benar-benar bagus, aku akan kongsi pada semua yang memerlukan

“Semua nak anak mereka sihat hidup ceria dan tenang. Apapun semua Allah yang izinkan,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji ketabahan Zarina selain turut berharap agar ubat-ubatan tersebut berkesan buat anak-anaknya itu.

“Kak Zarina ibu yang kuat. Mudahkanlah urusan ibu ini ya Allah.

“Suka saya melihat kesabaran ibu ini.

“Semoga terus semangat ya kakak dan keluarga. Semoga selalu dalam lindungan Allah.

“Teruskan usaha dan ikhtiar untuk anak-anak ini. Semoga dipermudahkan urusan,” antara komen-komen netizen.

Sehingga kini, video yang dikongsikan oleh Zarina itu telah meraih hampir 500,000 jumlah tontonan dan lebih 8,000 tanda suka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Sumber & Kredit Story: Instagram Zarina Zainuddin

Published by
Aizam Manaf