Pelakon Taiyuddin Bakar berpandangan orang luar tidak sepatutnya mempertikai dan mempersenda tindakan selebriti popular, Aliff Aziz yang menyertai jemaah tabligh lebih-lebih lagi selepas namanya terpalit kontroversi.
Menurut Taiyuddin atau lebih mesra disapa Tai, kita sepatutnya menunjukkan sokongan kepada sesiapa sahaja yang berusaha berubah ke jalan agama.
“Bila kita datang kepada usaha agama, kita akan mula belajar bagaimana untuk jadikan mata kita seperti mata lebah. Duduk dalam timbunan sampah pun kita akan cari yang manis-manis.
“Kalau kita tidak berusaha seperti itu, mata kita akan jadi macam mata lalat. Letak di taman yang paling cantik dan penuh wangian sekali pun, kita akan tetap cari sampah.
“Bagi segelintir pihak yang melihat secara straight forward dan hanya pada dasar, lalu terus menjatuhkan hukum, saya bersedih untuk mereka,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Hantu Bonceng itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Showcase Uncure: Palestin Hak Yang Di Dinafikan, baru-baru ini.
Katanya lagi, sebagai manusia, kita tidak layak untuk mempertikaikan niat orang lain terhadap agama.
“Bagaimana niat Aliff Aziz untuk dirinya sendiri, kerjaya, dan apa sahaja yang dia mahukan ketika sertai jemaah tabligh, itu urusan antara dia dan Allah.
“Andai kata niatnya untuk menggunakan kayu sugi itu lurus kerana Alla, antara khasiatnya, dia akan dapat mengucap dua kalimah syahadah dengan mudah ketika nak meninggal nanti.
“Bagi saya, jika niat Aliff lurus di sisi Allah, dialah yang beruntung. Kita yang bercakap ni menanggung rugi,” katanya.
Dalam pada itu, Tai yang kini merupakan vokalis bagi kumpulan underground, Uncure merasakan masyarakat masa kini sudah jauh daripada landasan agama.
“Sudah lebih 1400 tahun Nabi meninggalkan kita. Islam dan Nabi itu jauh daripada kita. Kita hanya bersangka-sangka hidup dalam keadaan Islam.
“Namun, ada pula yang ingat kemunculan kami ini semata untuk terbiyah. Padahal, niat kita adalah untuk mengingatkan orang kepada Allah dan Rasul.
“Namun, disebabkan kelemahan kita sendiri, buatkan orang lagi jauh. Ini juga perkara yang harus saya fikirkan kembali,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Tai turut mengakui ada dikalangan rakan-rakannya yang menjauh setelah dia aktif bergerak bersama kumpulan tabligh.
“Memang ada rakan-rakan dan kenalan yang menjauh. Namun, saya rasa terlampau kecil jika ingin dibandingkan dengan para sahabat Nabi.
“Mereka bukan sahaja kehilangan rakan-rakan, malah ahli keluarga sendiri. Jadi, diharapkan usaha saya ini walaupun tidak sempurna, dapat menjadi asbab hidayah dan kembali menjalinkan ukhwan dengan baik,” akhirinya.
Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan Aliff sedang menyertai aktivi bersama jemaah tabligh.
Malah, video tersebut turut mendapat respon bercampur baur daripada netizen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.