“Dia Usaha Kumpul, Lama Dah. Kita Nak Belikan, Dia Tak Nak…,” – Miliki iPhone Pakai Wang Sendiri, Ajak Kagumi Anak Sulung

Share

Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anaknya sulungnya, Jad Thaqif untuk membeli telefon pintar idamannya dengan menggunakan wang simpanannya sendiri.

Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, pada mulanya, dia pernah menawarkan untuk membelikan telefon tersebut namun ditolak oleh anaknya.

“Dia usaha kumpul duit. Lama dah. Kita nak belikan, dia tak nak. Nak belajar usaha katanya. Dia kumpul duit masa tolong Atok dia.

“Duit raya dia, tiap hari pulak buat keje rumah. Bila dia tolong nanti ibu dia bagi upah duit.(Saja bagi upah sebab tahu dia nak cuba kumpul) Tahniah Jad. Akhirnya,” tulisnya.

Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh penyampai radio, Suria FM itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Katanya lagi, sebagai bapa, dia turut tumpang gembira bila melihat usaha keras anaknya akhirnya membuahkan hasil.

“Baba puas tengok Jad ketawa. Baba tau Jad ketawa sebab Jad tak percaya Jad dapat. Baba dulu kumpul duit nak beli beg Alien Workhshop pun tak cukup-cukup Jad,” kongsinya lagi.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut menzahirkan rasa kagum selain turut memuji cara Ajak dan isteri membesarkan anak-anaknya itu.

“Dia akan lebih menghargai sesuatu barang tu dengan duit hasil usaha dia bang. Congrats Jad.

“Anak soleh. Moga berjaga dunia akhirat.

“Terbaik! Teringat dulu saya sendiri kumpul duit lepas SPM untuk beli telefon pertama saya. Nyatanya, puas hati. Dari itu, saya mengerti makna berdikari dan berjimat-cermat serta menghargai masa.

“Alhamdulilah, pandai usaha sendiri.

Satu kepuasan bagi seorang kanak-kanak,” antara komen-komen netizen di Instagram.

Setakat ini, video yang dikongsikan itu telah meraih lebih 500,000 jumlah tontonan di laman Instagram.

Sekadar informasi, Ajak mendirikan rumah tangga dengan Nur Afifah pada tanggal 6 Jun 2009

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamad Jad Thaqif, Mohamad Had Thaqif dan Nada Soffea.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Ajak Shiro

Published by
Aizam Manaf