Pelakon dan pengarah Issey Fazlisham menjelaskan idea untuk mengarahkan drama Perang Nasi Dagang: Kelate VS Ganu bukanlah bertujuan untuk memecah belahkan warga Pantai Timur.
Menurut Issey, drama ini dibuat bagi menceritakan keistimewaan juadah tradisi yang ada di dua negeri tersebut.
“Saya suka mengangkat naskhah yang dekat dengan masyarakat khususnya Pantai Timur kerana saya berasal daripada Kelantan. Bila kita fikirkan idea, saya rasa topik nasin dagang ini wajar untuk diangkat.
“Sub topiknya adalah nasi dagang tapi ada banyak lagi kisah yang diketengahkan daripada drama ini. Jadi, saya gunakan perbezaan pendapat itu untuk mengolahkan cerita.
“Idea asal filem ini hadir ketika sahabat saya dari Terengganu datang ke rumah untuk beraya. Ketika itu, saya menyediakan juadah Nasi Dagang Kelantan yang dimakan bersama gulai ayam, udang dan ikan. Gulainya pun berbeza dengan Terengganu.
“Kemudian sahabat saya bertanya dalam keadaan marah-marah manja, ‘kenapa nasi dagang makan dengan gulai ayam?’. Saya menjawaba beginilah cara orang Kelantan makan. Jadi, saya rasa nasi dagang ini boleh dijadikan subjek drama,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, penyampai radio THR Gegar ini turut memaklumkan drama ini mahu memberikan fokus terhadap survival orang-orang Pantai Timur yang berniaga di kota Kuala Lumpur.
“Saya juga nak menunjukkan kisah anak perantau yang berniaga kedai makan di Kuala Lumpur. Saya sendiri anak perantau dan penggambaran drama ini berlangsung di Kuala Lumpur.
“Hal ini sangat berkait rapat dengan keadaan sekeliling. Pergi mana-mana pun ada kedai tom yam dan nasi berlauk pagi yang diuruskan oleh orang Pantai Timur,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Issey turut menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya agak pilih kasih kerana hanya memilih pelakon-pelakon yang mempunyai darah Pantai Timur.
“Kesemua pelakon drama ini mempunyai darah Kelantan dan Terengganu. Saya memang kena pilih barisan pelakon yang kena dengan watak.
“Saya bukan tak nak pilih pelakon luar untuk bawakan watak orang Pantai Timur tapi saya kena ambil pelakon yang tiada masalah dari segi dialog. Orang Terengganu dan Kelantan mesti fasih dialek mereka.
“Skrip kita dalam Bahasa Melayu dan pelakon kena olah sendiri mengikut dialek mereka. Saya nak pelakon itu selesa dengan watak mereka.
“Memang kita sekadar berlakon tapi dialek Kelantan dan Terengganu ini tak boleh dibuat-buat. Kena orang yang mahir. Cuma Nora Danish saya boleh terima dan maafkan walaupun ada lari sedikit,” akhirinya.
Terdahulu, drama Perang Nasi Dagang Kelantan VS Ganu bakal mula bersiaran pada 19 Julai ini di saluran Astro Warna.
Drama inu turut dibintangi barisan pelakon seperti Sabri Yunus, Kimal, Nora Danish, Adrina Kamaruddin dan Mek Yun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.