Tidak lagi bersandarkan wajah yang jelita, namun Diana Danielle juga merupakan seorang aktres berbakat besar.
Buktinya, wanita berusia 26 tahun ini sekali lagi dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2017 (ASK2017), baru-baru ini.
Sebelum ini, isteri kepada aktor Farid Kamil ini mengungguli kategori sama pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), September lalu.
Kedua-dua trofi itu diterima menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Hanyut arahan U-wei Hj Saari.
“Alhamdulillah, Hanyut telah membuka banyak peluang pada saya.
“Bila saya berlakon dalam filem ini, barulah ada ramai yang lihat bakat saya dan mula yakin untuk memberi naskhah yang berat.
“Hanyut juga menjadi naskhah terbaik dan saya terhutang budi dengan U-Wei,” katanya pada Media Hiburan.
Pada masa sama, ASK2017 turut menobatkan Hanyut sebagai Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik manakala sutradaranya sebagai Pengarah Terbaik.
Bahkan, Khalid Salleh juga dipilih sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem).
Secara tidak langsung, katanya, kemenangan Hanyut mengubat hatinya walaupun filem berbajet besar itu gagal mendapatkan kutipan memberansangkan, sejak ditayangkan pada November lalu.
Hanyut memulakan penggambaran pada 2010 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian namun hanya ditayangkan pada November lalu.
Filem adaptasi daripada novel Almayer’s Folly nukilan Joseph Conrad pernah ditayangkan di pawagam Indonesia dengan judul Gunung Emas Almayer pada 2014
“Sebenarnya, kemenangan ini meninggalkan satu kenangan manis yang tak boleh dilupakan.
“Ia satu pengorbanan yang berbaloi apatah lagi dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang harus di hadapi.
“Saya harap orang ramai dapat menonton filem ini biarpun di skrin kecil. Ia juga merupakan filem terbaik yang pernah saya lakonkan,” katanya.
Sungguhpun sudah memenangi anugerah, Diana bagaimanapun masih tetap individu yang sama.
“Kalau nak kata saya selektif, saya memang selalu macam itu sejak dulu lagi.
“Selama ini pun, saya tak adalah bolot apa saja tawaran yang datang, sebab saya faham kalau orang selalu tengok kita, dia akan bosan.
“Tiada apa yang berubah, tapi saya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa saja mahupun penerbit baru,” katanya.
Bahkan, pelakon filem Kami Histeria ini mengakui hanya menerima naskhah yang betul-betul sesuai dan yang mahu dilakonkan tanpa memikirkan soal bayaran yang diterima.
“Kita tahu bayaran yang diperuntukkan stesen televisyen, jadi kita pun tidak boleh letak harga atau terlalu berkira tentang itu.
“Pada saya asalkan kita seronok dengan watak dan naskhah yang kita dapat itu sudah memadai,” katanya.
Jelasnya, seorang pelakon yang bagus mampu membawakan pelbagai apa saja watak sekali gus melakukannya dengan terbaik.
Dalam perkembangan lain, Diana sedang sibuk dalam penggambaran drama bersiri, Coffee Prince selain terbabit sebagai pengacara untuk sebuah program di TLC.