Podcast Kata Kita yang dikendalikan aktres Diana Danielle dan hos Nani Roslan tampil mengupas lebih banyak topik berkaitan isu semasa dalam kalangan masyarakat termasuk selebriti tempatan.
Menerusi cara penyampaian yang lebih santai, antara topik dibincangkan baru-baru ini termasuk mengenai industri perfileman tempatan sebaik berakhirnya Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) pada 7 Disember lalu yang menyaksikan filem Imaginur diangkat sebagai Filem Terbaik.
Diana, 33, sebagai antata bintang utama filem terbitan Lumatic Films Sdn Bhd itu pastinya berbangga dengan pencapaian diraih, malah turut membahaskan mengenai kejayaan itu menerusi podcast Kata Kita episod kedua yang lalu.
Menurut Diana, kejayaan itu cukup membanggakan, namun tidak boleh dilupakan sokongan berterusan daripada peminat kerana itu adalah hadiah terbesar untuk pelakon.
Diana yang membalas ucapan tahniah daripada Nani ketika sesi podcast itu berkata, tanpa peminat, dia atau mana-mana pelakon lain akan ‘terkandas’ kerana tidak mempunyai sistem sokongan secara berterusan.
“Sebenarnya yang saya paling hargai adalah sokongan orang yang pergi tonton filem Imaginur dan beri maklum balas dengan berkongsi bagaimana filem berkenaan memberi kesan kepada mereka.
“Jadi, itu sebenarnya penghargaan sebenar dan sudah tentu bila dapat pengiktirafan daripada FFM, ia lebih membuatkan kami rasa lebih bersemangat untuk teruskan berkarya.
“Penghargaan industri itu besar, tapi dengan peminat, mereka yang akan bawa kita untuk terus dalam bidang ini daripada satu tahun ke satu tahun. Terima kasih kepada peminat saya,” katanya.
Selain barisan para pemenang, penampilan selebriti yang hadir ke majlis sama turut diperkatakan dan dedah Diana, gaun hitam yang digayakan pada malam itu adalah ‘dress’ yang disewa kerana tidak ada pereka fesyen menerima tempahan pada saat akhir.
Ia diceritakan ibu kepada dua cahaya mata itu selepas Nani memuji persalinan berkenaan.
“Apa yang jadi ketika itu adalah, saya memang seorang yang suka siapkan sesuatu pada saat akhir sehingga saya terlupa tarikh FFM sudah hampir tiba. Jadi, saya pun tanya beberapa pereka fesyen dan semuanya cakap tak sempat, tengah sibuk dan sebagainya.
“Saya tidak mahu menyusahkan orang, jadi terpaksa susahkan diri sendiri. Akhirnya saya pergi ke kedai sewa pakaian yang dalamnya ada 5,000 ‘dress’. Disebabkan ia program RTM, jadi saya perlu cari pakaian yang sesuai, jadi saya belek satu persatu.
“Walaupun tak pernah pergi kedai itu, tapi saya tetap kena usaha juga untuk ke sana. Alhamdulillah saya gembira kerana pada akhirnya semua baik-baik sahaja. Pada saya, tidak kisah mahal atau tidak, tapi kalau itu adalah gaya anda, ia tetap akan nampak sesuai,” kongsi Diana.
Tambah Diana, dia juga bukanlah seseorang yang terlalu mendalami fesyen dan lebih mengutamakan gaya. Malah, katanya, dia tidak kisah untuk pakai baju sama berulang kali.
Menerusi siaran podcast sama, mereka turut mengupas mengenai isu pendakwah yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan melakukan gangguan seksual dan kelucahan terhadap kanak-kanak.
Diana berkata, tidak wajar sekiranya menganggap golongan pendakwah sebagai individu yang bebas daripada melakukan perkara terkutuk, selain mengesyorkan agar pendidikan seksual kepada kanak-kanak perlu diterapkan.
“Jenayah adalah jenayah dan kita jangan terlalu mengangkat pendakwah ini seolah-olah mereka tak mampu atau tak boleh membuat dosa. Kita perlu fikir setiap orang perlu bertanggungjawab atas apa yang dilakukan.
“Kita perlu adil demi memperjuangkan keadilan. Kita perlu adil dalam memperjuangkan hak kanak-kanak. Pendidikan seksual kepada kanak-kanak ini penting sebab bila sudah jadi remaja dan organ seksual sudah mula aktif.
“Jadi, bagaimana cara untuk memberi maklumat yang betul untuk bendung diri sendiri? Kalau mereka tidak ada ilmu yang cukup, nanti akan jadi masalah untuk bendung diri dalam dunia media sosial dan masyarakat yang pelbagai,” katanya.
Jangan ketinggalan untuk menonton lebih banyak kupasan isu semasa bersama Diana dan Nani menerusi saluran YouTube, Kata Kita Podcast.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini