Diana Danielle Dedah Aurora Trauma, Adik Farid Kamil Tanya; “Trauma Sebab Apa?”

Share

Susulan pendedahan pelakon Diana Danielle mengenai anak keduanya, Nur Aurora, 8, trauma sehingga membuatkannya tidak mengizinkan suami, Farid Kamil daripada bertemu anak-anak, adik kepada aktor itu, Fadzil Zahari tampil melontarkan pertanyaan kepada aktres tersebut berhubung isu berkenaan.

Menerusi ruangan komen di Instagram Hlive, Fadzil memberikan pertanyaan tersebut di atas perkongsian video Diana ketika dikeremuni wartawan sebaik selesai prosiding perbicaraan kes permohonan cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada pagi Selasa.

“Trauma sebab apa?” tanya Fadzil.

Terdahulu, Diana mengeluarkan kenyataan tersebut bagi mengulas mengenai kenyataan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak-anak.

“Aurora trauma,” ringkas jawapan Diana yang enggan menjawab punca anak bongsunya itu trauma.

Menerusi prosiding tersebut, Farid enggan menceraikan Diana malah cuba mempertahankan rumah tangga yang telah dibina sejak lebih 10 tahun lalu.

Farid juga turut membawa sejambak bunga ros dan sebentuk cincin bagi memenangi semula hati Diana.

Untuk info, Farid dan Diana berkahwin pada 2 November 2012.  Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8 tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar