Uncategorized

Dianggap Eksklusif, Maya Karin Selesa Dalam Dunia Sendiri

Share

EKSKLUSIF. Itulah gambaran sering diberikan kepada figura cantik, Maya Karin. Bukan sahaja merujuk kepada penampilannya dalam lakonan, tetapi juga dalam situasi di belakang kamera.

Maya begitu selektif dalam setiap tawaran yang datang, malah dalam masa juga dia juga bukan seorang yang mudah ditemui di mana-mana majlis yang dirasakan tidak perlu untuk dirinya.

Menurutnya lagi, dia tidak pernah merancang untuk meletakkan dirinya dalam situasi yang begitu, sebaliknya berlaku tanpa disedari apabila memilih untuk menjadi diri sendiri.

“Saya sebenarnya selesa dengan dunia saya sendiri yang lebih ringkas, santai dan tidak begitu terikat dengan sesuatu yang memerlukan saya menjadi orang lain.

 

“Saya bosan dengan glamor atau kelihatan cantik sepanjang masa kerana itu bukan personaliti saya melainkan semata-mata kerana kerja.

 

“Jadi mungkin atas sebab itu, saya jarang mahu menerima undangan ke acara-acara yang dirasakan tidak memerlukan sangat kehadiran saya di situ menyebabkan orang jarang melihat kelibat saya sebagaimana kebanyakan artis lain,” ujarnya jujur.

Malah Maya juga mengakui tidak begitu aktif di media sosial meski pun sedar kepentingan medium tersebut dalam era masa kini.

“Saya tidak mempunyai jutaan pengikut di Instagram sebagaimana orang lain, tetapi saya yakin sebahagian besar mereka yang tergolong dalam jumlah yang saya ada itu sentiasa setia dalam menyokong kerjaya seni saya.

 

“Kalau ada sesuatu yang perlu dikongsi, saya akan kemas kini di media sosial dan begitulah sebaliknya.

 

“Kadang-kadang saya sendiri tidak tahu mahu letak apa di Instagram kerana berasakan tiada apa yang menarik tentang saya yang perlu dikongsi di situ setiap hari,” katanya yang selesa dengan pendekatan tersebut.

Menyentuh tentang perkembangan kerjaya seninya juga, penglibatan Maya dalam pementasan teater Tun Fatimah yang bakal berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka pada 20-21 Oktober ini juga boleh dianggap sebagai eksklusif kerana ia merupakan naskhah bangsawan pertama yang dijayakan Maya.

Sebelum ini Maya pernah muncul menerusi pementasan teater Natrah dan Supermokh yang berlangsung di Istana Budaya.

“Saya jarang buat teater, malah filem juga tidak selalu kecuali untuk naskhah-naskhah yang ada kelainan dan mampu menarik minat saya untuk menerimanya seperti teater Tun Fatimah ini.

 

“Naskhah ini memberi saya peluang untuk membawakan watak srikandi Melayu yang cukup ikonik dalam sejarah dan semestinya mempunyai cerita menarik yang perlu dikongsi dengan masyarakat.

 

“Saya juga melihat tawaran ini sebagai peluang untuk saya belajar lebih mendalam lagi tentang jati diri Melayu yang menjadi sebahagian daripada hidup saya selama ini,” katanya yang sekali lagi bakal bergandingan dengan Remy Ishak.

Menurut Maya lagi, jika tiada tawaran berlakon yang bersesuaian, dia lebih senang memberikan tumpuan kepada perniagaan bidang hartanah yang diceburinya sejak beberapa tahun lalu selain melakukan aktiviti berkait minat dan hobinya.

“Pendapatan saya tidak bergantung sepenuhnya kepada bidang lakonan, sebaliknya penglibatan dalam bidang ini lebih kepada minat dan cinta kepada dunia seni.

 

“Saya pernah tidak berlakon dalam satu tempoh yang lama kerana tiada tawaran menarik yang datang, namun ia bukanlah suatu tekanan buat saya.

 

“Syukurlah saya ada back up plan sendiri dalam bidang perniagaan, meskipun tidaklah hebat mana tetapi ia cukup untuk saya,” jelas Maya lagi.

Mungkin juga ramai yang menyedari Maya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM21 dan FFM26) ini tidak pernah membintangi drama mahu pun telefilem sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan.

“Saya tidak tahu kenapa sehingga kini saya belum tergerak hati untuk berlakon drama atau telefilem meskipun banyak mendapat tawaran dari beberapa pihak.

 

“Saya selesa berlakon filem dan sesekali buat teater. Itu sudah cukup untuk saya buat masa ini,” tegasnya.

 

[FOTO: Sharifudin Abdul Rahim]

Published by
Wawann Mohd