Dibidas Hipokrit Sebab Berhijab ‘On & Off’, Fasha Sandha Minta Jangan Hina Punca Rezeki; “Kerana Bukan Level Kayangan, Anda Boleh Hukum Saya?”

Share

Dilabel hipokrit serta memandang rendah kerjaya anak seni gara-gara mengenakan hijab di majlis preview berbuka puasa, pelakon terkenal, Fasha Sandha tampil memberikan reaksinya berhubung komen-komen negatif netizen.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Fasha berkata, orang luar bebas untuk bercakap apa sahaja tetapi tidak perlulah sehingga menyentuh soal punca rezekinya.

“Dah lama tak tulis panjang-panjang. Hari ni rasa nak tulis bila terbaca ‘Hipokrit’ dan ‘Nama pun pelakon…’ lepas posting saya mengenakan hijab ke majlis preview berbuka puasa semalam.

“First of all, terima kasih followers kesayangan, keluarga teman media, peminat, sahabat yang berfikiran positive dan mendoakan yang baik-baik dan tidak pernah judge saya.

“Untuk yang menghina pun , saya ucapkan terima kasih. Nak hina berbakul-bakul pun silakan. Cuma jangan libatkan kerjaya saya sebab saya pun mencari rezeki seperti kalian,” katanya.

Katanya lagi, sebagai manusia biasa, dia memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan namun, dia tetap berusaha berubah ke arah yang lebih baik.

Pada masa sama, Fasha memaklumkan penampilannya ketika di luar haruslah mengikut kesesuaian program yang akan dihadirinya.

“Ya, saya hanyalah insan yang tidak sempurna, banyak kekhilafan dan kekurangan. Ya, kerana saya tiada pangkat dan darjat, saya bukanlah level kayangan. Jadi anda boleh menghukum saya kerana saya tidak berhijab?

“Kerjaya saya adalah pelakon dan duta produk, ianya adalah kerjaya saya tapi bukan bererti saya milik masyarakat.

“Jangan senang untuk melabel saya ‘hipokrit’ hanya kerana saya berhijab ke majlis tertentu. Saya yakin ramai lagi wanita yang free hair yang melakukan perkara yang sama seperti saya. Cuma bukan bererti yang telah berhijab boleh menghina kami sebegitu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pelakon filem Anak Mami Kembali ini juga merakamkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang telah mendoakan yang terbaik buat dirinya dan keluarga.

“Saya tidak perlu jelaskan satu persatu kenapa itu kenapa ini, sebab i don’t owe any explanation to anyone accept to my family, my inner circle and Allah.

“Lastly, terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik buat saya dan keluarga dan semoga yang baik-baik berbalik pada kalian juga. Aku seorang pendosa,” akhirinya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat selain turut menasihati Fasha agar tidak menghiraukan komen-komen negatif tersebut.

“Berhijab tak sementinya akhlak baik. Woman support woman. Bukan menghina.
Abaikan sahaja orang-orang toksik.

“Saya mendoakan yang terbaik buat Fasha. Idola saya daripada dulu.

“Abaikan vibes negatif ni. Yang penting rezeki yang kita cari itu halal. Be strong sis.

“Manusia senang menjatuh hukum kepada manusia lain. Sedang diri mereka tak sempurna mana. Jaga diri sendiri sudah. Sibuk dosa pahala orang lain kenapa?,” antara komen-komen netizen di Instagram.

Terdahulu baru-baru ini pula, penampilan Fasha sewaktu berkongsi video sedang bersenam di Instagram dikritik netizen gara-gara bajunya yang dikatakan agak ketat.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Fasha Sandha

Published by
Aizam Manaf