Perkara pertama yang bermain fikiran penonton sejurus sesi Tayangan Gala Filem Wira ialah aksi lasak yang dipersembahkan salah seorang pelakon utamanya, Fify Azmi.
Ini kerana, rata-ratanya memberi persepi bahawa aksi lasak yang ditonjolkan cukup meyakinkan bagi seorang bintang baru sepertinya.
Malah difahamkan, rambut pendek dan pemakaian di atas gelanggang menjadi antara tuntutan kepada watak Zain yang digalasnya.
Jelas finalis Dewi Remaja 2014/2015 ini lagi, awalnya dia agak keberatan memotong rambut, namun demi watak ia terpaksa dikorbankan.
“Sewaktu diminta untuk potong rambut pendek, saya bertanya jika ada cara lain untuk menonjolkan watak Zain.
“Maklumlah, rambut mahkota seorang wanita kan? Namun sejujurnya apabila berambut pendek lengkap dengan stail tersendiri, jiwa ‘fighter’ itu meresap masuk,” katanya kepada MH.
Sementara itu, bintang ini turut berkongsi antara cabaran saat melakonkan watak terbabit.
“Bagi saya, antara watak yang mencabar ialah sewaktu adanya babak berlawan. Bayangkan saya dicampak dan ‘dibaling’ sehinggakan leher terkehel, badan lebam dan bengkak.
“Namun itu perkara biasa apabila melakonkan babak aksi, cuma saya harus berhati-hati kerana bimbang andai terdapat kesan jangka panjang,” jelasnya jujur.
Wira mengisahkan Hassan yang dilakonkan oleh Hairul Azreen, iaitu seorang bekas tentera yang telah membawa diri meninggalkan keluarga sejak kecil.
Selepas menyempurnakan khidmat untuk negara, Hassan kembali ke pangkuan keluarga demi menyelesaikan hutang adiknya, Zain (Fify Azmi) atas kekalahan pertandingan MMA yang dianjurkan Raja (Dain Said).
Filem aksi hebat ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 21 November 2019.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI