Peserta berusia 16 tahun, Ika yang dikecam ramai gara-gara bersikap ‘biadap’ terhadap juri program All Together Now Malaysia 2 (ATNM2) tampil memberikan kenyataan berhubung isu yang dikaitkan dengannya baru-baru ini.
Menerusi satu video yang dikongsikan di platform TikTok, Ika menerusi status di media sosialnya berkata dia tidak perlu memberikan apa-apa penjelasan kerana enggan membazir masa selain mengakui kesilapannya.
“Biar ahli keluarga dan kawan-kawan yang tahu dah cukup. Saya tak perlu memberi penjelasan sebab orang tak kisah nak ambil tahu mengenai apa yang betul atau salah.
“Saya tak nak membazir masa berbuat demikian. Saya akui kesilapan saya dan sebagai manusia biasa, saya sentiasa sedar diri di mana saya berpijak,” tulisnya.
“Hanya Allah dan saya sahaja tahu perkara yang sebenar,” tulisnya.
@syafinazselamat.fans Replying to @kedaicikayu #alltogethernowmy2 #feartolaktepi ♬ 7 Nasihat – Dato' Sri Siti Nurhaliza & Kmy Kmo & Luca Sickta
Dalam entri itu juga, Ika turut ‘mengecam’ netizen yang seolah-olah mengetahui apa yang berlaku di belakang pentas program itu.
“Yang cakap tu kan macam tahu je apa yang jadi belakang pentas. Macam tahu je apa yang Astro nak semua hmm,” tulisnya lagi.
Terdahulu, tindakan Ika menjawab pertanyaan salah seorang juri, Catriona Ross dengan nada biadap serta bahasa tubuh tidak berpuas hati mengundang kemarahan netizen.
Ika didakwa bersikap acuh tak acuh apabila ditanya Catriona sama ada dia selesa atau tidak membawakan lagu yang disampaikan ketika membuat persembahan.
Malah, perlakuannya itu turut dibidas dua juri lain iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan komposer Ajai.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.