Usahawan dan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew meluahkan rasa sedih selepas didakwa mendapat arahan untuk tidak meneruskan misi bantuannya di Semporna, Sabah.
Menurut Ustaz Ebit, sekiranya dia dan seluruh ahli pasukannya masih meneruskan misi tersebut, berkemungkinan besar mereka boleh dikenakan hukuman denda atau pun penjara.
Oleh yang demikian, Ustaz Ebit dengan rasa berat hati memohon maaf kepada seluruh penduduk kampung di Semporna kerana terpaksa menangguhkan misi bantuannya itu.
“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di Pulau-Pulau di Semporna yang saya ajar syahadah. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.
“Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Semporna Minta diberhentikan bantuan disekitar sini. Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda 100 ribu atau penjara 3 tahun,” katanya.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh pengusaha pasar raya Elews Mart itu menerusi entri terkini yang dimuat naik di laman Instagram.
Jelasnya lagi, segala kelengkapan untuk membina sebuah sekolah telah pun dia sediakan termasukan para guru yang kini telah bersiap sedia untuk memulakan proses pembelajaran.
“Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang. Bukan sekolah saya. Tiada caj.
“Lebih kepada tempat nak aktiviti dan pendidikan. Sebab dekat sana tiada tempat untuk buat begitu.
“Dari bot jer bagi bantuan. Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul 7 orang guru. Semangat mereka nak mendidik. Dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf yer ustaz ustazah semua,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Ustaz Ebit turut mengakui dirinya berasa sangat tersentuh melihat reaksi para penduduk kampung yang sedih dengan keberangkatannya itu.
“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke Pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati perjuangan di teruskan.
“Saya akan terus ke Tawau dan tunggu flight di Tawau. Sempurna sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji. Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah-ebitlew,” akhirinya.
Sumber: Instagram Ustaz Ebit Lew