Berita

Didi Astillah Hanya Tahu Penarikan Diri Stacy Menerusi Media Sosial – “Saya Sibuk Dengan Persiapan Famili Duo…”

Share

Penyanyi Didi Astillah tidak tahu menahu mengenai penarikan diri Stacy Anam daripada konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku yang dijadualkan berlangsung pada 30 November depan.

Menurut Didi, 28, dia hanya mengetahui berita penarikan diri penyanyi yang popular menerusi lagu Not For Sale itu selepas membacanya di media sosial.

“Sebenarnya saya dapat tahu mengenai perkara tersebut menerusi media sosial. Iyalah dua tiga hari ini saya sibuk dengan persiapan minggu pertama program Famili Duo.

“Jadi saya sebenarnya tidak tahu-menahu. Saya hanya dipanggil oleh pihak penganjur untuk membuat persembahan pada konsert tersebut. Maksudnya orang bayar, kita menyanyi.

“Macam contoh gambar saya ada di poster konsert atau tidak, itu semuanya hak pihak pengurusan iaitu penganjur,” katanya.

Didi atau nama sebenarnya, Dayang Nazilah Awang Astillah berkata demikian ketika ditemui sejurus saingan minggu pertama Famili Duo di Shah Alam, Selangor, pada Ahad.

Tambahnya lagi, dia bukanlah individu yang layak untuk mengulas mengenai hal tersebut secara terperinci.

“Saya atau pun kak Bella tak ada kena mengena dengan pihak penganjur, atau pun macam mana perjalanan acara itu dan sebagainya.

“Kita hanya menjadi salah seorang penyanyi yang bakal membuat persembahan pada A Night With Sumandak Stars.

“Itupun sebenarnya, keberadaan saya pada konsert tersebut hanyalah sebagai penampilan khas.

“Malah sebelum hadir pada sidang media konsert tersebut baru-baru ini, saya ada bertanya sama ada saya perlu hadir atau tidak. Lalu mereka pelawa saya untuk sama-sama datang.

“Ingatkan datang untuk berikan sokongan sahaja, tapi tak tahulah pula ada gambar saya pada poster.

”Saya macam… okay, kira ini pun adalah satu peluang dan saya anggap ini sebagai rezeki,” katanya lagi.

Terdahulu, Stacy pada Jumaat menerusi syarikat pengurusan, Rythm & Rhyme mengumumkan mengenai penarikan dirinya dari Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku yang bakal dilangsungkan di Zepp Kuala Lumpur itu.

Kelmarin, penganjur memuat naik poster terbarunya yang meletakkan semua gambar artis yang terbabit dalam saiz sama rata tanpa gambar Stacy selepas pengumumannya menarik diri.

Selain Bella dan Didi, bintang yang turut terbabit dalam menjayakan konsert berkenaan ialah Marsha Milan, Adira, Nikki Palikat dan Wani Kayrie.

Published by
MH