Pelakon Didie Alias mengakui dirinya kini agak selektif terutamanya dalam hal pemilihan naskah sebelum menerima sebarang tawaran.
Jelas Didie, pada ketika ini, dia lebih selesa untuk memilih watak yang mampu memberikan impak buat penonton dan bukan hanya sekadar bahan tarikan untuk sesebuah drama.
“Saya memang seorang yang memilih sebab kadang-kadang kalau kita terima tawaran untuk watak yang kosong atau tiada impak, rasa macam rugi pula.
“Rugi buat orang menanti-nantikan kemunculan kita. Ia seolah-olah mereka menjual nama kita hanya untuk tarikan padahal watak tersebut sangat tidak berbaloi untuk saya terima.
“Sebagai contoh, ada pihak yang menawarkan saya untuk drama lapan episod dan penggambarannya pula memakan masa selama 15 hari.
“Tapi dalam satu episod saya hanya keluar satu babak sahaja. Ia sesuatu yang sangat merugikan,” katanya kepada MH.
Ibu kepada lima orang anak ini turut menambah, dia juga tidak mahu masa yang telah diluangkan untuk membuat persediaan dibazirkan begitu sahaja dek kerana peranannya yang begitu kecil.
“Sebagai seorang penerbit, bila anda dah dapat Didie Alias kenapa pula nak bagi saya hanya babak yang pendek sahaja?
“Saya berasa agak rugi di situ sebab saya perlu masa untuk buat persediaan. Apa watak yang sempat saya nak kembangkan kalau hanya satu babak sahaja?
“Saya masih mampu untuk melakonkan apa sahaja watak. Kalau boleh, berilah saya watak yang mampu memberi impak kepada drama tersebut,” ujarnya lagi.
Didie berkata sedemikian ketika di set penggambaran program MH Throwback, baru-baru ini.
Ditanya mengenai sikap para pendatang baru, Didie merasakan ada segelintir daripada mereka hanya sekadar ingin menjadikan platfrom tersebut sebagai batu loncatan untuk membina jenama sendiri.
“Kebanyakan daripada mereka ada yang benar-benar nak masuk kedalam dunia industri sebagai mereka punya periuk nasi.
“Malah, ada juga yang datang untuk seketika sahaja. Mereka ambil peluang itu dan bila dah bina nama serta impak, mereka tinggalkan sahaja industri ni dan buat pekerjaan lain. Mereka hanya masuk untuk personal branding sahaja.
“Bagi saya, kepada pendatang baru yang ingin memasuki dunia seni, kalau nak duduk lama dalam industri, buatlah kerja anda dengan jujur dan ikhlas.
“Kalau hanya jadikan peluang ini sebagai batu loncatan, baik tak payah. Jangan busukkan nama industri kami. Kami bertahan ni pun bukan atas sebab perkara-perkara yang tak bagus tapi disebabkan bakat.
“Kalau anda ada bakat, sila kekal lama dalam industri. Kami memang perlukan pelapis-pelapis seperti anda,” akhirinya.
Terdahulu, Didie bakal tampil dalam episod terbaru Media Hiburan Throwback untuk berkongsi segala suka duka sepanjang bergelar anak seni.
Rancangan yang dihoskan oleh Radin Era itu akan ditayangkan pada malam ini jam 9 malam disaluran Astro Prima dan Prima HD.