Penyanyi remaja, Megat Rahim mendedahkan dia disahkan positif Covid-19, sekali gus tidak dapat membuat persembahan pada minggu pertama Big Stage 2022, malam tadi.
Bersaing dalam program nyanyian realiti bagi musim keempat itu, bintang berusia 20 tahun ini kini menjalani kuarantin di rumah selepas dijangkiti virus itu sejak 31 Januari lalu.
“Sepatutnya ini adalah malam yang indah buat saya tapi malangnya dijangkiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat dengan seseorang.
“Ketika ini saya sedang menjalani kuarantin di rumah dan dijangka potong gelang hari ini (Isnin).
“Bukan hanya saya seorang, tapi ibu saya, Shahidah Mohd Hashim, 60, turut disahkan positif Covid-19 pada 2 Februari lalu,” katanya.
Megat menambah, dia sedih apabila tidak dapat membuat persembahan bagi membuktikan kemampuan diri di hadapan juri profesional Big Stage 2022.
“Ketika saya dapat tahu yang saya positif Covid-19, saya akui sangat sedih kerana tidak dapat membuat persembahan pada minggu pertama.
“Sepatutnya minggu pertama adalah momen indah untuk saya membuktikan kemampuan diri tapi semuanya sudah tertulis dan Insha-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik pada minggu kedua nanti,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber: Harian Metro