Hiburan

“Dijemput Pun Tak Pernah, Kali Ni Terus Jadi Hos,” – Bersyukur, Bakat Haniff Hamzah Dapat Perhatian Sejak Pindah Radio

Share

Pengacara dan penyampai radio, Haniff Hamzah akui agak gemuruh saat menerima tawaran untuk mengacarakan acara berprestij, Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-36.

Menurut Haniff, sepanjang bergelar personaliti TV dan radio, dia belum pernah diberikan tanggungjawab untuk mengacarakan program sebesar ini.

“Ketika minggu pertama di Media Prima dan masih cuba untuk biasakan diri dengan suasana baharu, penerbit TV3 ada jumpa saya dan bagitahu yang dia mahukan saya sebagai hos ABP.

“Lalu, saya kata yang saya nak hoskan karpet merah sahaja. Saya tidak pernah diberikan peluang di pentas sebesar ini. Kalau ada pun, tak semegah ini.

“Awalnya memang saya panik tapi penerbit bagitahu yang saya akan digandingkan dengan Didie Alias.

“Kami pernah bekerjasama untuk beberapa projek sebelum ini. Jadi, saya faham cara kerja Didie Alias,” katanya kepada MH.

Penyampai radio Fly FM itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara malam kemuncak Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Haniff menegaskan dirinya sedia menyahut cabaran dan akan melakukan yang terbaik untuk mengemudi acara terbesar tersebut.

“Saya terima tawaran ini dengan hati yang terbuka dan niat untuk belajar. Namun, saya faham ABP ini bukan tempat untuk kita melakukan kesilapan.

“Kalau kita tersilap dan pasangan kita boleh bantu, itu maknanya kita ada keserasian yang baik. Saya masih tak sangka bila dipilih.

“Kawan-kawan lain seperti Johan dan Radin sudah pernah tercalon dan menang di ABP. Saya hanya mampu tengok di TV. Dijemput pun tak pernah.

“Kali ini, terus dipilih jadi hos. Saya akui agak takut sedikit,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Haniff akui dirinya dapat melebarkan sayap dan menerima lebih banyak peluang sejak berhijrah ke stesen radio yang baharu.

“Saya pun tak tahu kenapa? Mungkin sebelum ini selalu dibayangi individu lebih besar. Namun, saya sentiasa percaya kepada rezeki. Tugas saya bukanlah untuk menjadi bintang di stesen radio.

“Tugas saya yang sebenarnya adalah untuk jadikan orang lain bintang. Itulah tugas saya dari awal.

“Ketika saya dan Ray jadi penyampai, tugas kami adalah untuk back up Pak Nil. Kami sudah dilatih untuk buat program radio itu gempak. Caranya adalah dengan jadikan individu bintang itu gempak,” akhirinya

Terdahulu, Hanif bakal mengacarakan ABP36 bersama dua orang rakan pengacara iaitu Didie Alias dan Riena Diana

ABP36 bakal berlangsung berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 11 Oktober depan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf