Berita

Dikecam Gemuk & Macam Mak Orang! Berat Iera Milpan Kini 51KG – “Nak Cantik, Kenalah Tahan.”

Share

Penyanyi Iera Milpan mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam menjaga pemakanan selepas menerima teguran mengenai bentuk badannya yang dilihat semakin berisi.

Menyedari impak visual terhadap penampilannya itu, Iera atau nama sebenarnya Syahirah Milpan, 23, berkata dia kini mengamalkan diet seimbang, termasuk mengurangkan pengambilan nasi dalam rutin hariannya.

“Ya, memang saya diet. Sebab ramai juga yang cakap kalau dalam gambar atau di video muzik (MV) nampak gemuk, dah macam anak berapa orang. Itu yang kita jaga pemakanan.

“Saya kurangkan pengambilan nasi. Kalau nak diikutkan, memang tak tahan sebab terpaksa elak nasi. Tapi sebab nak cantik, kenalah tahan!

“Dulu berat badan saya lebih 60 kilogram (Kg), tapi sekarang sekitar 51Kg,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rusa x MVM Ritma Riang Raya 2025 di Petaling Jaya, pada Selasa.

Tak Fikir Kecaman

Ditanya mengenai pengalamannya berdepan kecaman berkaitan fizikal (body-shaming), penyanyi lagu Retak Hatiku ini mengakui dia tidak terlalu melayan komen negatif yang diterima di media sosial.

“Apa yang mampu kita buat? Diam sajalah. Ada yang hantar mesej secara peribadi di Instagram, tapi banyak di ruang komen.

“Kebanyakan ia menyentuh mengenai keadaan kulit wajah saya, banyak jerawat, ‘breakout’ dan sebagainya.

“Apa pun, mana komen yang baik kita ambil dan begitu juga sebaliknya. Kalau nak teruskan komen, biarlah.

“Malah saya juga tak sekat mereka di media sosial, cuma saya tidak akan balas mesej sedemikian.

“Tapi saya diet bukanlah kerana kecaman tersebut semata-mata. Ia didorong oleh keinginan sendiri dan demi kesihatan juga,” katanya lagi.

Single Terbaharu

Dalam perkembangan terkini, Iera turut memaklumkan dia baru sahaja menyiapkan rakaman single terbaharunya.

Walaupun masih merahsiakan tajuk lagu, Iera mendedahkan, karya itu kekal dalam genre balada dan dijangka dilancarkan dalam tahun ini juga.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH