Hiburan

Dilabel Duda ‘Hot’, Hisyam Hamid Mahu Elak Gosip & Jaga Hati Anak-Anak

Share

Dilabel sebagai duda ‘hot’, pelakon Hisyam Hamid menganggap perkara tersebut sebagai satu pujian dan gurauan yang diberikan oleh segelintir netizen.

Menurut Hisyam, selepas kembali solo, fokusnya kini hanya tertumpu pada kerjaya dan anak-anak.

“Saya terima sebagai satu pujian. Mungkin perkara ini secara tidak langsung boleh memberikan impak positif. Kita pun tak tahu apa terjadi pada masa hadapan.

“Setakat ini, saya gembira dengan progres hidup saya. Ada fasa di mana saya terjatuh dan ini adalah proses untuk bangun semula,” katanya kepada MH.

Pelakon asal Singapura itu berkata sedemikian ketika ditemui di Anugerah Bintang Popular ke-36, baru-baru ini.

Katanya lagi, dia juga sudah menjangkakan bakal berdepan situasi seperti ini selepas kembali solo.

“Saya okay sahaja. Pada akhirnya, kita adalah public figure (pempengaruh). Kita tahu hal-hal seperti ini akan berlaku. Ketika berkahwin dan kembali solo, gosip-gosipnya adalah berbeza.

“Saya sudah menjangkakan gurauan seperti ini. Apapun, yang paling penting, saya tahu jaga diri dan kerja saya,” kongsinya lagi.

Bagaimanapun, pelakon filem La Luna ini akui agak kecewa bila ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita tidak benar melibatkan namanya.

“Ada kalanya, saya rasa sedikit terganggu. Mudah sangat orang nak mereka-reka cerita. Dahulu tidaklah sebegini. Jika saya bercakap atau baik dengan seseorang, mereka kata saya ada hubungan istimewa.

“Jadi, saya tak boleh ada kawan perempuan ke? Saya kini kena lebih berhati-hati. Saya tak nak timbul gosip yang tidak betul. Lagipun, saya belum lagi nak ke arah itu (berkahwin).

“Saya nak elak hal seperti ini dan jaga hati anak-anak. Ketika ini, senang sangat nak jatuh fitnah,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Hisyam menjadi perhatian ramai selepas mengesahkan dirinya sudah bercerai dengan Rosmawati Hanafi atau lebih dikenali sebagai Mel.

Menerusi perkongsian hidup selama 18 tahun, pasangan terbabit dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Kredit Foto: Instagram Hisyam Hamid

Published by
Aizam Manaf