Pelakon, Imran Aqil mengakui kehidupannya kini telah banyak berubah selepas mendirikan rumah tangga dengan cinta hatinya yang juga pempengaruh, Dahlia Rizal.
Menurut Imran, dia merasakan dirinya kini lebih terurus dan makin fokus dalam menjalani kehidupan berumah tangga.
“Selepas berkahwin, ramai yang kata wajah saya kini makin berseri-seri. Yang menjaga bab muka ini memang tugas isteri saya. Sebelum tidur, mesti dia akan pakaian ‘skincare’ untuk saya walaupun saya sudah tertidur.
“Kehidupan saya kini makin teratur dan terurus. Pada masa sama, rezeki yang datang juga luar biasa. Datang dari pelbagai arah. Itu yang saya perasan,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Skuad X itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara Challo Run x Maskulim Who’s Your Bro yang berlangsung di ibu kota pada Ahad.
Dilabel pasangan contoh buat mereka yang ingin berkahwin pada usia muda, Imran akui agak risau dengan ekspektasi tinggi yang diletakkan oleh netizen.
“Pada mulanya saya rasa agak terbeban juga. Ketika ini, kita banyak dengar kisah mengenai isu rumah tangga dan penceraian.
“Isteri saya pun kerap kali cakap supaya tak ikut jejak langkah mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Sebelum ini, ada seorang artis yang bercakap soal poligami. Sampai isteri saya juga suruh saya berhati-hati jika dapat pertanyaan sebegitu.
“Kata isteri saya, jika ada yang bertanya soal poligami, cakap sahaja tak nak,” katanya lagi.
Jelas bintang kelahiran Hero Remaja 2020 itu lagi, dia juga tidak akan sesekali menyakiti isterinya yang lama dikejar sejak usianya belasan tahun.
“Dia adalah wanita idaman saya sejak usia saya 17 tahun. Ketika itu, saya hanya mampu pandang sahaja. Saya sedar diri. Diri ini kerdil.
“Namun, selepas menyertai Hero Remaja, keyakinan itu mula ada. Dari situ, saya memberanikan diri untuk berkenalan sehinggalah berkahwin pada hari ini,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai soal pembahagian masa lebih-lebih lagi apabila kedua-dua merupakan pelakon dan pempengaruh media sosial, ini kata Imran
“Kami punyai fleksibiliti dari segi masa. Kalau saya ada penggambaran, mungkin saya akan balik lewat. Namun, selepas berkahwin, tawaran berlakon itu agak kurang. Seperti kita tahu, ramai lebih utamakan pelakon bujang.
“Jadi, saya banyak masa lapang dan bekerja di rumah. Jadi, kami memang selalu bersama,” akhirinya.
Sekadar informasi, Imran dan Dahlia telah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2023 selepas setahun mengikat tali pertunangan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini