“Dimaki Ogy Ahmad Daud Gara-Gara Menguap,” – Syafiq Kyle Imbau Memori Tahun Pertama Masuk Set, Kongsi Kisah ‘Digantung’

Share

Mengimbau kembali pengalaman pertama bergandingan dengan pelakon senior, Fauziah Ahmad Daud, Syafiq Kyle menjelaskan tidak mampu menahan gugup dan gementar.

Malah akuinya, dia pernah dimaki di set penggambaran gara-gara menguap sewaktu babak bermula oleh pelakon wanita hebat berkenaan.

Disebabkan itu, kerjasama dalam filem terbaru gandingan mereka, Pusaka menjadi lebih mudah kerana dia sudah memahami cara kerja dan disiplin yang diterapkan pelakon senior itu.

Saya masih ingat gandingan pertama kali dengan Kak Ogy iaitu drama hari raya. Saya menguap dan secara tiba-tiba dia menegur saya supaya lebih serius dalam bekerja.

“Ini kali ketiga kami bekerja bersama dalam naskah dan saya sudah bersedia kerana sudah memahami cara kerja dia,” katanya sambil ketawa.

Naib juara Hero Remaja 2011/2012 ini turut berkongsi pengalaman saat ‘digantung’ sebagai pelengkap kepada babak penting dalam filem arahan Razaisyam Rashid itu.

Masalah paling sulit ketika penggambaran Pusaka adalah apabila digantung dengan tali. Sebagai seorang lelaki, bayangkan betapa senaknya sepanjang proses itu berlangsung.

“Apabila diangkat, saya merasa tidak selesa dan menyakitkan. Untuk babak ini, hampir lima jam saya digantung dan tersepit,” jelasnya kepada media pada Malam Gala Pusaka di Starling Mall.

Syafik Kyle memegang peranan sebagai Inspektor Nuar Ishak dan mempunyai kembar seiras, Nuraini, lakonan Mimi Lana.

Pusaka merupakan karya terbaru terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director’s Think Thank dan dipersembahkan oleh produksi Alpha 47.

Selain mereka, turut sama terlibat di dalam filem tersebut ialah Faizal Hussien, Sweet Qismina, Aleeza Shahdan dan ramai lagi

Published by
Noraini Abd Wahab