Berita

“Disiplinnya Sangat Baik…,” – Dapat Tahu Isteri Nak Fail Cerai Ketika Di Set, Pengarah Puji Farid Kamil Profesional

Share

Pengarah Faizul A. Rashid memuji tahap profesional yang ditunjukkan aktor, Farid Kamil sepanjang menjalani penggambaran filem Bisikan Dosa meskipun ketika ini dia berdepan dengan ujian rumah tangga bersama isteri, aktres Diana Danielle.

Menurut Faizul, Farid tetap komited memberikan kualiti lakonan terbaik tanpa menunjukkan sebarang perubahan emosi.

“Dia sangat profesional dan tetap meneruskan penggambaran seperti biasa. Ketika berita itu tersebar, dia ada di set penggambaran dan dia okay.

“Malah, sehari sebelum berita itu tersebar, kami sedang seronok bekerja kerana hasil penggambaran sangat bagus

“Itu satu perkara yang saya puji mengenai Farid, disiplinnya sangat baik dan profesional meskipun sedang berhadapan dengan masalah sendiri.

“Saya mengenali Farid sudah lama, sebelum menjayakan filem ini lagi, kami ada keluar bermain golf bersama anaknya. Diana juga ada dan semuanya okay,” katanya kepada MH.

Faizul ditemui di set lokasi filem genre seram itu di Kuang, Selangor.

Tambah Faizul, aktor berkenaan juga teruja untuk menghabiskan baki penggambaran dalam masa yang ditetapkan.

“Dia tak pernah nak minta tangguh penggambaran. Malah, setiap kali di lokasi dia sentiasa memberikan yang terbaik.

“Kita juga tidak boleh nak salahkan dia dalam situasi ini kerana setiap orang ada masalah tersendiri,” ujarnya.

Sejak Isnin lalu nama Farid kembali menjadi sorotan apabila Diana meluahkan hasrat untuk sekali lagi berpisah menerusi satu hantaran di Instagram.

Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf