Pelakon Farid Kamil akui sepanjang menjalani penggambaran filem Anwar The Untold Story, dia sentiasa menitipkan doa seterusnya mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri ke-10.
Ini kerana menurut Farid, dia tidak mahu berdepan sebarang kemungkinan filem itu tak dapat ditayangkan sekiranya perkara tidak berlaku.
Untuk rekod, ketika penggambaran filem berkenaan sedang berlangsung sekitar November tahun lalu, Anwar sedang bertanding di dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
“Sebelum buat filem tersebut, saya sentiasa berdoa. Sebab sebagai pelakon, jika filem lakonan saya tidak dapat ditayangkan di negara sendiri apalah perasaan yang saya harus harungi.
“Jadi setiap hari saya berdoa, untuk filem ini ditayangkan di Malaysia, Anwar harus diberi peluang untuk memerintah dengan menjadi Perdana Menteri.
“Sampaikan saya dinasihatkan oleh pihak produksi supaya jangan terlalu yakin, kerana mereka sudah banyak kali dikecewakan sebagai pembikin filem.
“Bagi membawakan watak Anwar bukan sahaja saya perlu menjadi percaya pada dia tetapi saya sudah pun percaya dengan sosok Anwar sebelum saya terbang ke Indonesia bagi menjalani penggambaran,” katanya.
Selain Farid, Anwar The Untold Story turut dibintangi Acha Septriasa, Hasnol Rahmat dan ramai lagi.
Filem arahan Viva Westi itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula Mei depan.
Anwar The Untold Story berkisarkan mengenai jatuh bangun perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam politik terutama melawan rasuah.
Filem diusahakan sejak Ogos 2011 ini siap dan kini bersedia untuk ditayangkan. Set masa filem ini ialah dari tahun 1993 hingga September 1998, iaitu ketika Anwar mula menjawat jawatan Menteri Kewangan sehinggalah dipecat.
Diolah dari kisah benar, alur ceritanya adalah mengenai sikap Anwar yang tegas dan konsisten menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai dari pihak tertentu.