Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba nama penyanyi, Adira Suhaimi hangat diperkatakan oleh warganet sejak semalam.
Ia berikutan tularnya sepotong video di aplikasi Tik Tok yang mengatakan Adira sudah bercerai dengan suaminya dan kini memegang status sebagai janda anak empat.
Tampil menjelaskan mengenai hal tersebut, Adira memaklumkan video berkenaan telah sengaja disunting oleh individu tidak bertanggungjawab yang berpura-pura menjadi dirinya.
Jelas Adira, hubungannya bersama suami sememangnya berada dalam keadaan baik dan apa yang dikatakan di dalam video tersebut adalah tidak benar.
“Itu adalah akaun palsu. Jangan tertipu dan tak perlu follow pun. Individu tersebut mungkin hanya sekadar mahukan followers di Tik Tok.
“Alhamdulillah saya masih lagi okay dengan suami. Tiada apapun. Masih sayang lagi,” katanya.
Penjelasan tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Pujaan Hati Kanda itu menerusi beberapa hantaran di ruangan Instagram stories.
Menerusi posting yang sama, penyanyi asal Sabah ini turut berkongsi sepotong video yang memaparkan dirinya sedang meluangkan masa bersama suami.
Dalam pada itu, Adira turut memohon kepada semua pihak untuk mendoakan yang terbaik buat dia sekeluarga.
“Kalau nampak video tersebut lalu di Tik Tok anda, itu bukan akaun saya. Jangan percaya apa yang diperkatakan.
“Ada-ada sahaja mereka ini. Dengar boleh percaya jangan. Doa yang baik-baik sahaja,” ujarnya lagi.
Sekadar informasi, Adira telah mendirikan rumah tangga bersama suami, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.
Malah, Adira juga baru sahaja melahirkan cahaya mata keempatnya, Ayub pada tanggal 29 September lalu.
Selain Ayub, pasangan ini telah terlebih dahulu dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Anggrek, Asan dan Anggun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Adira Suhaimi