“Doakan Saya Berubah Ke Arah Lebih Baik,” – Azira Syafinaz Risau Andai Respon Isu S*ksi Disalah Erti

Share

Nama penyanyi dan pelakon, Azira Syafinaz kebelakangan ini kerap menjadi buah mulut warganet berikutan imejnya yang kini dikatakan semakin seksi.

Ketika ditemui, Azira memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana bimbang kata-katanya itu nanti akan disalah tafsir segelintir pihak.

Lalu, dia memohon jasa baik semua pihak untuk mendoakan agar dirinya dapat berubah ke arah yang lebih baik satu hari nanti.

“Saya tiada komen mengenai perkara ini kerana kalau saya berkata sesuatu pun, orang mungkin akan salah anggap. Nanti spekulasi lain pula yang timbul.

“Saya sedar tindakan saya ini tak bersesuaian bagi sesetengah pihak tetapi mungkin anda semua boleh mendoakan agar satu hari nanti, saya akan berubah ke arah yang lebih baik,” katanya kepada MH.

Anggota kumpulan De Fam itu berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis tayangan gala drama siri One Cent Thief, pada Selasa.

Katanya lagi, dia sudah terbiasa dengan ‘sepak terajang’ yang harus dilalui apabila bergelar selebriti.

“Sejujurnya, sudah tentu saya tak selesa bila ada pihak yang melabelkan saya dengan perkara yang bukan-bukan. Namun, ini adalah lumrah bergelar selebriti. Kita kena hadap perkara seperti ini.

“Saya tak kata perbuatan saya ini betul cuma doakanlah yang terbaik untuk saya,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya adakah dia terkesan dengan komen-komen netizen di media sosial, Azira memberitahu, ada sebenarnya lebih selesa untuk tidak ambil pusing.

“Saya bukan jenis yang suka baca komen. Saya biarkan sahaja. Dulu mungkin saya kerap baca komen dan tipulah kalau saya tak terkesan. Sebagai manusia, kita juga ada hati dan perasaan.

“Kadang-kala, ada juga pihak yang melampaui batas dan membuatkan saya berasa geram tapi realiti menjadi seorang artis memang kena banyak bersabar.

“Apa yang kita kongsikan di media sosial, tetap ada baik dan buruknya. Buat perkara baik atau sebaliknya, orang akan tetap mengata. Apapun, teguran yang baik, saya tetap akan terima manakala yang buruk, saya akan cuba perbaiki.

“Saya tak mahu cepat melatah. Ia merupakan satu perkara yang tak baik untuk kita di dalam industri ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Azira akui teruja apabila turut terlibat di dalam drama One Cent Thief yang juga merupakan drama aksi-triller pertamanya.

“Pengalaman berlakon drama ini memang sangat mencabar lebih-lebih lagi untuk keluar daripada watak-watak yang biasa saya bawakan sebelum ini.

“Ini merupakan drama aksi pertama saya. Meskipun babak aksi saya hanya sedikit tapi saya tetap teruja,” ulasnya.

Terdahulu, One Cent Thief merupakan drama arahan pengarah muda, Ariff Zulkarnain.

Drama ini bakal menemui penonton bermula 8 Oktober ini, setiap hari Sabtu jam 9 malam.

Penonton juga berpeluang menonton episod baru seminggu lebih awal pada Sabtu jam 12 tengah malam menerusi platform Astro Go atau On Demand.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf