Dijangka bakal melahirkan cahaya mata sulung lelaki, pasangan selebriti, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran meluahkan rasa syukur seterusnya mengharapkan agar semuanya dipermudahkan.
Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad,29, menerusi Harian Metro mendedahkan dia akan bersalin bulan ini.
“Insya-Allah saya bakal menimang cahaya mata lelaki dalam waktu terdekat ini. Saya dijangka bersalin sama ada minggu depan atau dua minggu lagi.
“Doakan urusan bersalin saya berjalan lancar dan dikurniakan anak yang soleh,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman jantina anak dan kenduri kesyukuran yang berlangsung di sebuah premis acara di Janda Baik, Pahang, pada Jumaat.
Sementara itu, suaminya, Raja Syahiran bagaimanapun akui mereka masih belum menetapkan nama penuh bagi putera sulungnya itu.
“Kami berdua sudah ada beberapa pilihan nama tapi belum mencapai kata putus sebab kalau boleh nak beri nama anak yang membawa maksud yang baik.
“Tapi permulaan nama anak saya akan bermula dengan nama Raja dan kemudian diikuti dengan huruf U,” katanya.
Sebagai informasi, mereka melangsungkan pernikahan di Colony Star Boulevard, Kuala Lumpur, pada 20 Disember tahun lalu.
Uyaina turut berkongsi momen indah majlis tersebut di dalam hantaran terkini di Instagram.
“Bismillah.. Alhamdullilah.. It’s a boy. Doakan keluarga kecil kami,” tulisnya ringkas pada ruangan kapsyen.
Peminat dan rakan selebriti turut tumpang gembira seterusnya mendoakan yang baik-baik buat bakal ibu bapa ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.